Indira Gandhi mahu jumpa IGP bincang usaha kesan anak
M Indira Gandhi, ibu kepada Prasana Diksa yang sehingga kini masih hilang, mahu berjumpa dengan Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador untuk membincangkan tentang perkembangan usaha mengesan lokasi anak perempuannya itu.
Ini berikutan kenyataan IGP bahawa polis sedang melipatgandakan usaha dalam mengesan anak Indira yang dibawa lari daripada jagaannya oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, sepuluh tahun lalu.
Prasana berusia 11 bulan ketika itu.
Kata Indira, komitmen yang ditunjukkan Abdul Hamid itu lebih menjanjikan berbanding alasan yang diberikan IGP terdahulu.
“Saya senang hati, akhirnya ada seorang IGP yang berkata macam tu, sebab yang sebelum-sebelum ini tak ambil endah dan hanya beri alasan.
“Sepuluh tahun itu masa yang terlalu panjang untuk saya tak dapat apa-apa maklum balas daripada pihak polis. Saya harap dapat berjumpa dengan Hamid dalam masa terdekat,” katanya seperti dipetik The Malay Mail.
Indira turut menambah, dia berharap diberikan peluang untuk membandingkan petunjuk yang diperoleh polis dengan yang diperolehi oleh penyiasat persendirian yang dilantik pihaknya untuk mengesan Prasana.
“Saya hanya mahu sebarang berita yang menunjukkan polis sedang berbuat sesuatu untuk bantu saya cari anak perempuan saya,” katanya lagi.
Isnin lalu, Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) melantik penyiasat persendirian bagi membantu usaha mencari Prasana. Ingat berjanji akan memaklumkan perkembangan terbaru yang diperolehi mereka kepada pihak polis.
Riduan melarikan Prasana - anak bongsu mereka - dan kemudian secara sepihak menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam pada 2009.
Kes itu mencetuskan pertembungan di mahkamah yang panjang, melibatkan mahkamah sivil dan syariah.
Dua lagi anak mereka kini tinggal bersama Indira, manakala lokasi Prasana dan bapanya masih tidak diketahui.
Pada tahun 2014, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan, tetapi hingga hari ini polis masih belum menemuinya.
Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan penukaran agama secara sepihak adalah menyalahi undang-undang.

