Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan laporan akhbar Singapura yang mendakwa rancangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuh raya kerana kurang tidak mendapat kebenaran kabinet.

"Tidak, tidak, tidak. Tak ada perkara seperti itu," kata Dr Mahathir pada sidang media di Putrajaya hari ini.

"Kabinet dimaklumkan mengenai rancangan ini oleh menteri kewangan, dan kita tak pernah kata tak setuju. Tapi tarikh pelaksanaan yang akan diputuskan oleh kabinet," katanya lagi.

Straits Times sebelum ini memetik menteri yang tidak dinamakan, mendakwa rancangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuh raya "ditangguhkan sementara menunggu kajian semula" kerana tidak mendapat kelulusan kabinet.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pada 23 Feb lalu menyatakan bahawa kerajaan sedang mengadakan rundingan untuk mengambil alih Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Pada 21 Jun, pemilik empat lebuh raya berkenaan menerima tawaran kerajaan untuk pengambilalihan itu. Gamuda Bhd, Lingkaran Trans Kota holdings Bhd (Litrak) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint Holdings) menerima tawaran berkenaan.

 

 

Meskipun pengumuman berhubung pengambilalihan itu dibuat pada Feb, Dr Mahathir dilihat tidak begitu yakin dengan rancangan yang diketengahkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Menteri kewangan nampak seperti yakin ia boleh dilaksanakan. Masalah kita (kerajaan) adalah kita tidak mempunyai wang, namun menteri kewangan kata dengan mengenakan caj pada waktu kemuncak, kita boleh mendapatkan dana yang cukup untuk mengambil alih empat lebuh raya ini.

"Kita perlu lihat sama ada ia akan cukup atau tidak," katanya.

Menurut laporan Straits Times sebelum ini, Kementerian Kerja Raya - yang bertanggungjawab memantau infrastruktur awam - mencadangkan agar kesemua 19 lebuhraya digabungkan di bawah satu syarikat.

Cadangan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya itu masing-masing dilihat bertujuan menurunkan kadar tol yang merupakan antara janji dalam manifesto PH.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS