PM jamin projek gagal dilaksana dalam RMK8 diteruskan
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan semua projek di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) yang gagal disiapkan akan dibawa ke Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan semua projek di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) yang gagal disiapkan akan dibawa ke Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Beliau berkata projek-projek yang belum siap itu akan menjadi perkara yang mesti dilaksanakan di dalam RMK-9.
"Memang ada projek-projek yang dirancang dalam RMK-8 yang masih belum dapat dilaksanakan berikutan pelbagai masalah tetapi ia akan dibawa ke RMK-9 dan kita bukan hendak biarkan ia terbengkalai," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata antara faktor yang menyebabkan projek-projek berkenaan gagal disiapkan termasuklah isu tanah dan halangan daripada rakyat.
"Sekarang tanah kalau dibantah oleh rakyat dan mereka membawa isu itu ke mahkamah akan menyebabkan projek-projek yang dirancang tersangkut, kena tunggu keputusan mahkamah dan jika mahkamah memberi keputusan yang tidak menyebelahi kita terpaksa mencari jalan lain," ketika menjawab soalan Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah)
Abdullah berkata pelaksanaan projek- projek pembangunan di negara ini adalah secara berterusan dan tidak dihentikan sekalipun telah melampaui jangka masa sebenar pelaksanaannya.
Beliau berkata kerajaan sentiasa memantau projek-projek pembangunan yang dilaksanakan termasuk jumlah projek yang gagal disiapkan bagi memudahkan kerajaan menentukan peruntukan yang diperlukan bagi meneruskan projek-projek yang belum selesai itu.
"Peruntukan tambahan itu perlu diambil kira bagi membolehkan projek-projek itu diselesaikan. Itu kaedah kita melaksanakan pembangunan di negara kita," katanya.
Menjawab soalan asal Hashim, Abdullah berkata usaha-usaha untuk memantapkan prestasi perkhidmatan awam bagi memperbaiki sistem penyampaian terus dijalankan.
Bagaimanapun, usaha itu akan mengambil masa disebabkan masalah-masalah yang ada pada hari ini, misalnya hal-hal berkaitan birokrasi. "Tetapi usaha diteruskan. Tidak ada sikap berlengah-lengah atau menganggap perkara ini tidak penting," katanya.
Abdullah berkata bagi memperkukuh dan meningkatkan keupayaan para pegawai di dalam perkhidmatan awam, kerajaan telah melantik sebuah pasukan pakar daripada Universiti Harvard untuk mengkaji, menggubal strategi dan menyediakan kursus-kursus berkaitan yang boleh meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi di jabatan awam.

