Paling Popular
Terkini

Malaysia berjaya mematahkan percubaan golongan pentaasub dan fanatik untuk melemahkan perpaduan negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Ya, ada perangkap dan percubaan oleh pentaasub untuk fanatik memecahkan dan menjejaskan perpaduan dan tujuan umum kami.

“Tetapi, syukur kepada Tuhan, kami telah mengatasi dan kami dapat bertahan untuk mempersembahkan sebuah negara yang bersatu dalam kepelbagaiannya," katanya.

Demikian kata Mahathir ketika mengalu-alukan perlajar-pelajar universiti antarabangsa di majlis simposium kepimpinan universiti di Shah Alam.

Bagaimanapun, perdana menteri tidak mengulas lanjut mengenai kenyataannya.

Selepas PRU ke-14, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan beberapa isu kaum dan agama.

Isu terbaru ialah bantahan beberapa pihak terhadap rancangan kerajaan memperkenalkan tulisan khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi murid darjah empat di sekolah vernakular.

Sejumlah pemimpin akar umbi DAP baru-baru ini berkata tindakan itu akan menjejaskan fabrik sosial di Malaysia.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, yang turut hadir di acara hari ini, berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara itu dalam masa terdekat.

Sebelum ini kerajaan terpaksa menarik balik ratifikasi dua konvensyen PBB, iaitu Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom.

Ia selepas bantahan sejumlah pihak yang berkata dua konvensyen itu akan menjejaskan kedudukan Raja-raja Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam di negara ini. 

Lihat Komen
ADS