Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi belum dapat maklumat hasil pertemuan PAS, PM
Diterbitkan:  Aug 2, 2019 5:25 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, belum mendapat maklumat mengenai hasil pertemuan wakil parti itu dengan Dr Mahathir Mohamad yang berlangsung pada 31 Julai lalu.

Menjawab soalan wartawan, Abdul Hadi berkata, beliau hanya akan menerima maklumat mengenai pertemuan berkenaan pada malam ini.

"Saya tak ada maklumat apa yang dia cakap dalam pertemuan itu... itu saya perlu taklimat (daripada wakil PAS).

"Malam ini saya akan berjumpa dengan wakil-wakil kita (PAS) yang berjumpa dengan Tun M (Mahathir) dia (mereka) akan laporkan," katanya pada sidang media di Rusila, Marang, dan dimuat naik di Facebooknya petang ini.

Semalam, perdana menteri mengesahkan berjumpa dengan beberapa pemimpin pembangkang dalam pertemuan yang mencetuskan pelbagai spekulasi. Antaranya ia membabitkan isu pertukaran perdana menteri.

PAS diwakili setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, dan naib presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut hadir bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dan wakil Gabungan Parti Sarawak, Fadillah Yusof.

Bagaimanapun, Mahathir menegaskan bahawa beliau memang sering mengadakan perjumpaan dengan pelbagai individu termasuk wakil dari NGO.

"Seperti yang anda tahu, Presiden PAS sentiasa kata dia sokong saya. Tak ada perkara baru," katanya.

Sementara itu Abdul Hadi secara sinis menyindir Anwar Ibrahim yang mahu menjadi perdana menteri ketika beliau masih gagal menguruskan masalah dalaman PKR.


Baca Peralihan PM: Mengapa Umno jadi penyibuk?


"Nak rebut tugas (jawatan perdana menteri) cepat sangat. Sepatutnya kita tidak jadi begitu [...] apa lagi dalam hal yang berlaku hari ini tak boleh hendak urus parti sendiri.

"Nak urus parti sendiri tak boleh...masalah (parti) perkara yang bukan berkait dengan rakyat, berkait dengan peribadi, selalu bahas hal peribadi, macam mana nak urus masalah rakyat?" katanya.

Jelas Abdul hadi lagi, PAS tidak mahu individu tertentu menentukan siapa yang layak menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan bahawa parti itu menyokong Mahathir menjalankan tugasnya selaku perdana menteri sehingga tamat mandat yang diterima melalui PRU ke-14 pada tahun lalu.

"Ya selagi dia (Mahathir) ada kelayakan, dia ada kemampuan," katanya.

Lihat Komen
ADS