Pengarang Urusan Bernama, Mohd Nasir Yusoff yang ketika ini berada di Jakarta bersama delegasi Ikatan Setiawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) turut merasai gegaran gempa di Jakarta malam ini.

Beliau berkata, detik cemas kira-kira seminit itu berlaku ketika beliau dan delegasi mengadakan sidang akhbar bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirani di tingkat lapan bangunan Lion Air Tower.

“Keadaan di dalam ruang sidang akhbar yang berlangsung ketika gempa itu terjadi menyebabkan semua wartawan Malaysia cemas, begitu juga dengan Duta Besar Rusdi yang mengakui beliau sendiri baru kali pertama merasakan goncangan gempa.

“Sidang akhbar dihentikan serta merta dan beliau (Duta Besar) mengetuai rombongan 15 wartawan Malaysia bergegas menuruni tangga ke luar bangunan. Semua wartawan berada dalam keadaan selamat,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Petang ini, satu gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter berlaku di Banten, kira-kira 120km dari Jakarta dan gegarannya turut dirasakan sehingga ke ibu negara Indonesia itu.

Gempa bumi pada pukul 7.03 petang waktu tempatan itu berpusat di 147km barat daya Sumur-Banten.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG) turut mengeluarkan amaran tsunami di Pandeglang selatan, Lampung dan Sukabumi.

- Bernama