Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak benar Dong Jiao Zong akan berhimpun Isnin depan
Diterbitkan:  Aug 3, 2019 3:09 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) menafikan pertubuhan itu akan menganjurkan perhimpunan bagi membantah pengajaran seni khat dalam pelajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan.

Dalam kenyataannya, mereka berkata laporan akhbar seperti yang disiarkan oleh Sin Chew Daily dan Utusan Malaysia itu adalah tidak benar dan mengelirukan.

"Pihak Dong Jiao Zong ingin menjelaskan tiada perhimpunan diadakan dan hanyalah satu mesyuarat dalaman yang akan diadakan bersama beberapa pertubuhan pelbagai kaum pada 5 Ogos untuk membincangkan perkara penambahan seni khat dalam subjek atau mata pelajaran BM di SJKC dan SJKT," jelas kenyataan tersebut. 

Tambah mereka mesyuarat dalaman itu hanya menumpukan pengupasan dan penganalisaan tentang inisiatif Kementerian Pendidikan melalui aspek-aspek pedagogi pedidikan, keberkesanan pembelajaran dan juga realiti serta fungsi pragmatik seni khat Jawi dalam peningkatan tahap penguasaan dan pengetahuan bahasa Melayu.

"Pihak kami ingin menegaskan bahawa mesyuarat yang akan diadakan merupakan mesyuarat dalaman yang hanya dihadiri oleh beberapa pertubuhan pelbagai kaum yang diundang sahaja," kata mereka.

Kelmarin, Sin Chew edisi Mandarin melaporkan Dong Jiao Zong akan mengadakan perhimpunan bagi membantah kerajaan memperkenalkan seni khat Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di ibu pejabat mereka di Kajang.

Kemudian, dalam portal versi bahasa Inggeris akhbar itu pula turut melaporkan hal tersebut dengan judul "Dong Jiao Zong rally against Jawi on Monday"

Semalam pula Utusan Malaysia yang memetik laporan portal Sin Chew turut melaporkan perkara sama dengan tajuk "Dong Zong, Jiao Zong anjur himpunan Isnin depan, bantah tulisan Jawi".

Mengulas lanjut, kata Dong Jiao Zong, mereka tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan antara pelbagai kaum, mempromosi nilai-nilai murni kepelbagaian dan integrasi.

Namun, tambah mereka, ia tidak harus dilakukan dalam kaedah yang menyebabkan kesangsian, was-was dan kurang menyenangkan, dan tanpa berbincang secara terperinci dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan pendidikan dan masyarakat majmuk.

“Dong Jiao Zong risau akan berita yang tidak bertanggungjawab akan menyebabkan salah faham dan reaksi negatif yang tidak diingini". 

Lihat Komen
ADS