Penduduk di Pulau Tioman, Rompin dekat Kuantan, merayu supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat mengambil tindakan segera bagi membaiki masalah elektrik yang didakwa telah berlanjutan selama seminggu.
Mereka mendakwa masalah sejak Sabtu lepas, berlaku di beberapa kawasan sekitar pulau yang mana bekalan elektrik diperoleh untuk tempoh singkat, ada masanya hanya antara dua ke tiga jam sehari, sebelum kembali terputus.
Seorang penduduk Azman Awang Mohd, 49, yang mengusahakan resort dengan 60 bilik di Kampung Genting berkata, beliau berdepan dengan rasa tidak puas hati pelancong yang tidak boleh menggunakan penghawa dingin atau mengecas telefon bimbit.
"Kami juga terpaksa menghadkan bekalan barang basah kerana ayam, sotong dan ikan yang disimpan di peti sejuk beku rosak sebelum ini. Sejak beberapa hari lepas, kami membuat pesanan dalam jumlah sedikit setiap hari supaya tidak rugi.
"Jika bahan itu habis, kami cuma mampu beritahu pelancong yang mereka tidak boleh membuat pesanan makanan kerana tiada bahan. Saya harap TNB segera mengatasi masalah ini kerana menyukarkan kami," katanya semasa dihubungi di Kuantan, hari ini.
Azman, yang juga anak jati Tioman, berkata ini kali pertama beliau berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan elektrik begitu lama dan daripada maklumat pihak TNB, difahamkan ia disebabkan kerosakan di stesen di situ.

Susulan itu, beliau berharap tindakan sewajarnya dapat dilakukan memandangkan pulau itu destinasi pelancongan dan ramai penduduk 'bergantung harap' kepada sektor itu.
"Kedatangan pelancong meningkat pada hujung minggu bermula Jumaat malangnya sejak 12 malam tadi sehingga 12.30 tengah hari ini, bekalan elektrik masih terputus. Ramai pelancong marah kerana mereka mengeluarkan wang untuk ke sini.
“Saya bimbang jika perkara ini menjejaskan kehadiran pelancong masa hadapan jika mereka bercerita pengalaman buruk sepanjang bercuti kerana promosi mulut ke mulut ini sangat berkesan dalam sektor pelancongan," katanya.
Seorang lagi penduduk Pulau Tioman Fadhirul Mat Saridan, 33, berkata masalah elektrik juga membawa kepada masalah bekalan air di beberapa kawasan seperti di Kampung Salang kerana kebanyakan penduduk tidak boleh menggunakan pam air.
Beliau, yang sudah lapan tahun menetap di Pulau Tioman, mendakwa tidak menerima notis mengenai masalah bekalan itu, menyebabkan mereka hanya sempat menadah air setiap kali elektrik berfungsi dalam masa singkat.
"Kami sudah penat untuk mendapatkan jawapan TNB kerana diberitahu kerosakan masih belum dapat dibaiki kerana menunggu keputusan pihak atasan. Beberapa hari lepas, kami diberitahu TNB membawa lima generator ke sini, namun satu daripadanya rosak.
"Walaupun ada generator, bekalan elektrik masih tidak pulih sepenuhnya. Saya berharap mereka dapat segera membaiki kerosakan yang berlaku kerana ia menjejaskan kehidupan seharian kami di sini," katanya.
- Bernama
