Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) masih belum berminat untuk menyertai kerjasama membabitkan Umno dan PAS.

Perkara itu disuarakan Presidennya, Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang menegaskan parti itu kekal dalam Gagasan Sejahtera bersama PAS.

“Setakat ini kita belum fikir lagi sama ada hendak bersama dengan PAS dan Umno dalam perpaduan ummah. Kita tengok dulu macam mana.

“Lagi pun masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang keputusan atau pendirian kerana kerjasama PAS dan Umno masih baru dan belum ada apa-apa hala tuju yang tetap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kadir berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Dewan Pemuda Ikatan Malaysia dan majlis penyampaian watikah Dewan Pemuda Ikatan Malaysia di sebuah hotel di ibu negara.

Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan.

PAS dan Ikatan membentuk kerjasama melalui Gagasan Sejahtera pada Ogos 2016.

Bagaimanapun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, PAS menjalinkan kerjasama politik dengan Umno apabila BN kalah buat pertama kalinya selepas lebih 60 tahun.

Pembentukan kerjasama "perpaduan ummah" itu dikatakan sebagai persiapan menghadapi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU akan datang.

Umno dan PAS dijangka akan menandatangani piagam bersama kerjasama parti itu pada 14 September akan datang.

Dalam pada itu, Kadir menegaskan Ikatan antara parti yang terawal menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menerajui negara sehingga tamat penggal.

"Ikatan secara rasmi menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

“Mana yang baik, kita beri sokongan. Setakat ini kita tak nampak kepincangan sepanjang lebih setahun Dr Mahathir menerajui kerajaan PH," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Ikatan pula berkata sayap parti itu mendukung agenda memperkukuhkan Pemuda Gagasan Sejahtera bersama PAS dan Berjasa.

"Dewan Pemuda Ikatan bersetuju untuk melebarkan, membina dan memperkukuhkan hubungan permuafakatan bersama parti-parti politik blok pembangkang yang lain dan NGO.

"Selain itu kita akan memperbanyakkan program-program berkaitan anak di peringkat nasional dan negeri bagi membela nasib anak muda yang tertipu dengan janji palsu Pakatan Harapan," katanya.