Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC: Hannah tak boleh hanya peka kepentingan satu pihak

Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan S Rajah menggesa Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh duduk semeja dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad bagi membincangkan isu pembinaan rumah kepada penduduk rumah panjang Bukit Kiara.

Jelas Rajah, Hannah tidak boleh hanya peka kepada kepentingan satu pihak dan pada masa sama tidak mendengar pandangan pihak lain.

“Saya nampak Khalid sangat peka dengan isu ini dan selepas mendengar kedua-dua pihak beliau (Khalid) mengambil keputusan untuk mengurangkan pembinaan rumah kepada dalam 1,200 unit sahaja.

“Ini adalah bagi tujuan mengawal kesesakan lalu lintas yang seperti yang dibimbangi oleh penduduk sekitar TTDI.

“Namun, mereka tetap bantah yang kini disokong oleh Hannah yang juga membuat cadangan baru untuk membina ‘townhouse’ buat penduduk rumah panjang," kata Rajah kepada pemberita ketika ditemui di kawasan perumahan rumah panjang Bukit Kiara, hari ini.

Penduduk rumah panjang Bukit Kiara merupakan bekas pekerja Ladang Bukit Kiara dipindahkan ke kawasan itu pada tahun 1982 selepas ladang berkenaan dijual bagi tujuan pembangunan.

Selepas berjuang lebih 30 tahun, pada 2013 penduduknya dijanjikan untuk rumah mampu milik secara percuma.

Namun, projek perumahan tersebut masih tidak dapat dimulakan kerana dibantah penduduk sekitar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang menyifatkan projek yang merangkumi lebih 2,600 unit rumah mampu milik serta kondominium itu akan mengakibatkan pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas.

Mengulas lanjut, Rajah berkata Hannah perlu duduk semeja dengan Khalid berbincang bagi mendapatkan penyelesaian.

“Saya meminta ahli parlimen Segambut berbincang dengan menteri (Khalid) untuk penyelesaian menyeluruh bagi semua orang,” katanya.

Menurut Rajah, walaupun cadangan ‘town house’ disambut baik, ia sukar dilaksanakan kerana pampasan tinggi yang perlu dibayar kerajaan, selain tempoh pembinaan yang mengambil masa lama.

“Kalau nak juga bina ‘town house’ saya cabar dia cari pemaju yang mampu bina. Jangan sekadar cakap-cakap sahaja.

“Apa sahaja kos pampasan untuk tukar pemaju yang sedia ada kena ditanggung oleh kontraktor baru,” katanya.

Lihat Komen
ADS