Kes bunuh warga emas: Empat dihadapkan ke mahkamah
Seorang broker saham hari ini dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Seremban atas dua pertuduhan membunuh dua warga emas, 24 Julai lepas.
Tertuduh Tan Kuan Ngip, 40, hanya mengangguk faham ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof dan Majistret V Vanita oleh jurubahasa mahkamah dan tiada pengakuan direkodkan.
Di mahkamah Majistret Mahyun, mengikut pertuduhan, Tan didakwa menyebabkan kematian Eng Chong Hwa, 67, dengan menggunakan pisau manakala di mahkamah Majistret Vanita, dia didakwa menyebabkan kematian Tan Kim Joo, 73, dengan menikam menggunakan pisau.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di rumah bernombor 597, Jalan Melati 21, Taman Desa Melati, Nilai antara pukul 4 hingga 7.45 malam, 24 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqah Mahroob bagi pertuduhan pertama dan Nur'atiqah Sapari bagi pertuduhan kedua manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Joseph Kevin dan Leng Win Mun.
Kedua-dua Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah menangguhkan prosiding kes bagi menunggu laporan kimia dan forensik dan kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 10 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, tiga lagi tertuduh, Lim Boon Ee, 35, Kek Yiing Haur, 41, dan Huen Kok Chou, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Mahyun, menyembunyikan pisau yang digunakan dalam kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 25 Julai antara pukul 7 hingga 8.50.malam.
Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Lim diwakili peguam Joseph dan Leng manakala Kek diwakili Joseph Mathews serta Huen diwakili peguam B Jayaprakash Rao.
Mas Syafiqah kemudian menawarkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan dua penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 seorang dengan dua penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahyun turut menetapkan 10 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
- Bernama


