Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Kita akan cakap pasal Lynas tapi bukan di sini

Lim Guan Eng berpendapat bahawa Persidangan Percukaian Kebangsaan 2019 bukan tempat yang sesuai untuk membincangkan isu Lynas Corp yang kini mengundang kritikan terhadap PH yang disifatkan sebagai tidak berpegang pada janji pilihan raya.

Bercakap kepada pemberita selepas program itu di Kuala Lumpur petang ini, Lim ditanya sama ada Malaysia memerlukan loji pemprosesan nadir bumi.

"Saya fikir menteri berkenaan telah membincangkannya," kata Lim merujuk kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

"Kita akan bercakap mengenai perkara ini tetapi bukan di sini. Saya akan bercakap tentangnya di tempat lain, " katanya.

Minggu lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang menunggu Lynas mengemukakan rancangan syarikat itu untuk menangani sisa radioaktif sebelum memutuskan sama ada akan memperbaharui lesen operasi mereka.

Sabtu lalu, Yeo berkata keputusan kabinet mahu melanjutkan permit operasi Lynas selama enam bulan lagi bukan keputusan “paling ideal”, namun setidak-tidaknya keputusan yang dicapai kabinet itu jauh lebih baik daripada keadaan sekarang.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, adalah pengkritik lantang Lynas, yang mula beroperasi di Malaysia di bawah pentadbiran BN.

Dalam satu rakaman video perhimpunan anti-Lynas pada 2012 yang berdedar di media sosial baru-baru ini, Lim dilihat berucap mengecam Lynas.

Lim mendakwa bahawa pihak dalam kerajaan BN menyokong Lynas kerana wang, sementara pembangkang menentangnya kerana mahu rakyat selamat.

"Mereka yang menyokong Lynas tidak mempunyai kemanusiaan," katanya.

Baru-baru ini, sumber mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa kerajaan dijangka melanjutkan lesen operasi untuk Lynas selama tempoh enam bulan.

Menurut sumber, mesyuarat kabinet berhubung lesen Lynas menyaksikan sekurang-kurangnya tiga menteri menyokong pembaharuan permit berkenaan.

Semua menteri, yang sebelum ini membantah operasi Lynas ketika menjadi pembangkang, konsisten dengan pendirian mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS