DAP berharap semua rakyat Malaysia kini boleh bergerak ke depan dan mengetepikan isu pembelajaran seni khat Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) selepas Kementerian Pendidikan membuat keputusan ia bersifat pilihan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan dibuat kerajaan itu memang tidak akan menggembirakan semua orang, termasuk komuniti bukan Melayu.

"Bagaimanapun keputusan kabinet semalam bahawa ia bukan wajib sebaliknya bersifat pilihan, serta tidak termasuk dalam peperiksaan diharap membolehkan semua rakyat Malaysia bergerak ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Isu pembelajaran tulisan Jawi di SRJK Cina dan Tamil - melalui mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 menimbulkan polemik baru-baru ini.

Pengkritik mendesak keputusan itu ditangguhkan sehinggalah Kementerian Pendidikan mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh dalam bidang pendididikan vernakular.

Siang tadi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan guru diberi kuasa untuk menentukan bagaimana silibus itu diajar kepada murid-murid di SRJK.

Sangka ada agenda tersembunyi

Dalam kenyataannya Maszlee berkata: “Pengenalan tulisan khat ini dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksananya di bilik darjah masing-masing."

Walaupun menteri terbabit tidak menjelaskan maksud perkataan "pilihan" apabila ditanya kemudiannya, Malaysiakini difahamkan kelonggaran itu membolehkan seseorang guru membuat keputusan sama ada mahu mengajar seni khat terbabit atau sebaliknya.

Maszlee juga mengumumkan pembelajaran seni khat dalam buku teks itu akan dikurang daripada enam muka surat kepada tiga muka surat.

Sebelum ini anggota parlimen Simpang Renggam itu sudah menafikan pembelajaran terbabit adalah proses Islamisasi dalam pendidikan.

Menurut Lim rasa kurang senang yang timbul sebelum ini adalah berpunca daripada tanggapan bahawa Kementerian Pendidikan membuat keputusan tanpa berunding dengan pemegang taruh berkaitan.

"Ia membawa kepada kecurigaan umum dan kemerosotan keyakinan daripada pihak berkepentingan di SRJK yang menyangka ada agenda tersembunyi di sebalik keputusan berkenaan," katanya.

[Baca berita penuh]