Shahrir: Anggota BN berhak bantah syor IPCMC
Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu diberi kebebasan untuk membantah cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), kata Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan, Datuk Shahrir Samad.
"Mereka membantah syor tersebut. Mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian. Mereka mempunyai pelbagai pandangan. Mereka tahu apa yang mereka cakapkan," katanya kepada malaysiakini di lobi Parliament hari ini.
"Rakyat patut diberi kebebasan untuk bersuara. Saya percaya sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan mengenai IPCMC wajar diberi peluang untuk melahirkan pendapat mereka,"ujarnya.
Sejak sidang Dewan Rakyat brmula minggu lalu, anggota Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan terutamanya dari Umno telah melahirkan bantahan mereka terhadap cadangan penubuhan IPCMC itu.
Kebanyakan mereka berpendapat syor tersebut yang dicadangkan dalam laporan Suruhanjaya Bebas Polis pada tahun lalu itu akan menjejaskan semangat dan maruah polis.
Mereka berpendapat mekanisme yang ada sekarang sudah mencukupi untuk memantau dan mengawal salahlaku polis.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini memetik kenyataan Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail yang memberi jaminan akan mengambilkira pandangan ahli-ahli Parlimen itu dalam menimbang penubuhan IPCMC.
Lidah pengarang akhbar itu juga menggesa Peguam Negara mengkaji dengan teliti pandangan para wakil rakyat itu.
"Walaupun bantahan itu datang dari beberapa orang anggota Parlimen, tetapi kami percaya ia selari dengan pandangan majoriti rakyat,"kata akhbar itu lagi.