Bermula tahun depan, rakyat di Terengganu akan menikmati cuti umum pada setiap Hari Arafah, iaitu pada 9 Zulhijjah, sehari sebelum menyambut Hari Raya Haji.

Ini bermakna, rakyat di negeri Terengganu akan menikmati cuti umum tiga hari berturut-turut, termasuk dua hari cuti Hari Raya Aidiladha.

Menurut Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, perkara itu akan menjadikan Terengganu negeri pertama mengambil tindakan yang seumpamanya di negara ini.

“Menyedari akan pentingnya Hari Arafah ini kepada umat Islam yang (hari ini) semakin dilupakan oleh seluruh umat Islam terutama dalam negara kita ini, kerajaan negeri telah membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan kita dah mendapat maklum balas.

“Oleh kerana itu, saya nak isytiharkan pada malam ini bahawa, bermula pada tahun hadapan dan seterusnya, tahun 2020 dan seterusnya, maka negeri Terengganu akan tambah cuti sehari lagi (untuk Raya Haji) iaitu Hari Arafah, pada 9 Zulhijjah setiap tahun.

“Dan cuti Hari Arafah yang dah diluluskan ini adalah yang pertama di Malaysia. Tak ada lagi negeri lain yang cuti pada Hari Arafah,” katanya dalam ucapannya semalam, disambut dengan laungan takbir oleh hadirin.

Beliau berkata demikian sejurus sebelum merasmikan Program Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 2019 di Dewan Terbuka, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Berita gembira itu turut dikongsinya di laman Twitter dan Facebooknya, dengan turut mengepilkan poster pengumuman Cuti Arafah yang akan berkuat kuasa bermula 2020.

Hari Arafah atau juga dikenali sebagai Hari Wukuf merupakan hari jemaah haji melakukan rukun wukuf di Padang Arafah bagi menyempurnakan ibadah haji.

Ia dilakukan selepas tergelincir matahari (masuk waktu zohor) 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbitnya fajar (sebelum subuh) pada 10 Zulhijjah.

Pada Hari Arafah juga, umat Islam disunatkan untuk berpuasa.