Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilapor perlahan malam ini berikutan pergerakan orang ramai yang pulang ke kampung bersempena cuti sekolah dan sambutan Aidiladha, esok.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, setakat 10 malam ini, aliran trafik bergerak perlahan di kawasan Behrang ke Gopeng, Senawang ke Pedas Linggi dan Tanjung Malim ke Bidor.

“Trafik juga perlahan dari Perai ke Permatang Pauh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik turut dilapor perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi, Lentang ke Bentong dan Plaza Tol Bentong ke Karak.

“Bagaimanapun, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 lancar manakala LPT 2 agak sesak di Plaza Tol Kuala Terengganu arah pusat bandar,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

- Bernama