Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi SPRM jelaskan mengapa Jho Low tak diletak bawah bon jaminan
Diterbitkan:  Aug 13, 2019 6:04 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

KES NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa SPRM berjaya menemui bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, dan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, di luar negara serta merakam percakapan kedua-dua individu.

Perkara itu didedahkan Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Rosli Husain pada hari ke-52 perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Saksi ke-57 pendakwaan itu berkata Nik Faisal dan Jho Low berjaya ditemui pada 2015, masing-masing di Jakarta, Indonesia, dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Pihak kami merakamkan percakapan Nik Faisal di Jakarta pada 17 Okt 2015 dan Jho Low di Abu Dhabi pada 27 Nov tahun sama," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff semasa pemeriksaan utama.

Memandangkan SPRM telah berjaya merakam percakapan kedua-dua individu, Rosli berkata pihaknya percaya Nik Faisal dan Jho Low akan kembali ke Malaysia untuk memberikan keterangan.

Ishak: Mengapa kamu tidak meletakkan mereka di bawah bon jaminan?

Rosli: Oleh kerana mereka memberi komitmen, kami yakin mereka akan balik ke Malaysia dan akan memberi kerjasama untuk perbicaraan kes ini. Sebab itu, kami tak meletakkan bon jaminan untuk kedua-dua mereka.

Saksi itu juga berkata siasatan pihaknya mendapati Nik Faisal meninggalkan negara pada 7 Mei 2018 melalui terminal tiga Lapangan Terbang Antarabangsa Subang manakala Jho Low pula pada 29 Mei 2015 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata usaha mengesan kedua-dua individu di pejabat dan alamat kediaman terakhir masing-masing menemui kegagalan.

"Pihak kami juga telah pergi ke pejabat Nik Faisal di Shah Alam pada 21 Mei 2018. Masa pergi, saya mendapati hanya seorang sahaja pekerja di situ yang memberitahu bahawa Nik Faisal ke luar negara dan tidak balik-balik.

"Usaha untuk mengesannya di kediaman di Bangsar juga tidak berjaya. Pegawai saya yang mengesan Jho Low di kediaman di Tanjung Bungah, Pulau Pinang mendapati beliau tiada di situ dan usaha mengesan bapa beliau juga tidak berjaya," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati Nik Faisal dan Jho Low tidak pernah kembali ke Malaysia sejak mereka keluar dari negara ini.

Rosli berkata waran tangkap terhadap Nik Faisal dan Jho Low dikeluarkan pada 22 Mei 2018 bagi mendapatkan bantuan Interpol dalam usaha menahan mereka.

Notis merah juga dikeluarkan oleh Interpol terhadap kedua-dua lelaki pada 11 Jun 2018 dan diedarkan kepada negara-negara di mana mereka disyaki bersembunyi, antaranya Hongkong, Macau, Thailand, Indonesia, Myanmar serta China.

Beliau berkata pasport Malaysia atas nama Jho Low telah dibatalkan pada 14 Jun 2018 manakala pasport Nik Faisal dibatalkan pada 25 Julai 2018.

Rosli, yang merupakan pegawai penyiasat kes itu, berkata Jho Low juga memiliki pasport St Kitts dan Nevis.

Ishak: Di manakah kawasan itu?

Rosli: Ia difahamkan di sebelah Amerika Selatan. Maklumat interpol mendapati Jho Low mempunyai PR (pemastautin tetap) di sana.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

- Bernama

Lihat Komen
ADS