Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bedah siasat mayat Nora Anne belum selesai - Polis

Sehingga pukul 8.15 malam, bedah siasat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, masih dijalankan, kata Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman.

Beliau berkata proses bedah siasat yang bermula pada pukul 11.45 pagi tadi dikendalikan oleh pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siew Sheue Feng bersama Dr Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

"Sehingga kini, kami belum terima keputusan sebab kematian, saya tidak dapat pastikan sehingga jam berapa bedah siasat (selesai).

"Mereka masih jalankan bedah siasat, setakat ini sahaja yang saya boleh maklumkan," katanya pada sidang media di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, HTJ, malam ini.

Menurut beliau, proses bedah siasat turut dibantu oleh pihak Jabatan Kimia dan Jabatan Forensik Petaling Jaya iaitu Dr Aidora Saedon dan Sufian Arshad Ahmad.

Ditanya sama ada proses pengumpulan bahan bukti di lokasi kejadian diteruskan, Che Zakaria berkata ia masih diteruskan.

"Tidak ada perkembangan baharu yang saya nak laporkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kenyataan akhbar dan sidang media berhubung hasil bedah siasat itu akan diadakan esok, bagaimanapun waktu sidang media belum dimaklumkan.

Mayat Nora Anne ditemui semalam dalam keadaan tidak berpakaian di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer daripada resort penginapan remaja itu bersama keluarganya di Pantai di Seremban selepas 10 hari remaja anak istimewa itu dilpor hilang dari bilik penginapannya di resort itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS