Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwa AS mohon jual rumah mewah anak tiri Najib
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 12:00 PM
Dikemaskini: 4:00 AM

Dokumen mahkamah menunjukkan pihak pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha untuk menjual tiga rumah mewah yang dikaitkan dengan Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak.

Ini dalam usaha terbaru mereka untuk mendapatkan semula wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat mendakwa bahawa kira-kira AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB, sebuah syarikat pelaburan negara yang ditubuhkan oleh Najib.

Sejak 2016, Jabatan Keadilan (DOJ) AS telah memfailkan tindakan undang-undang pelucutanhak kira-kira AS$1.7 bilion dalam aset yang didakwa dibeli dengan wang dicuri 1MDB, termasuk jet peribadi, hartanah mewah dan barangan kemas.

AS telah mengembalikan kepada Malaysia kira-kira AS$200 juta yang diselamatkan daripada penjualan aset yang dirampas..

Rabu lalu, pendakwa raya AS dan syarikat induk tiga hartanah mewah itu memohon mahkamah California untuk menarik penggantungan prosiding pelucuthakan supaya harta itu boleh dijual.

Menurut dokumen mahkamah, hartanah itu termasuk sebuah kediaman di London bernilai AS$27.97 juta, kediaman bernilai AS$17.5 juta di Beverly Hills, dan kondominium AS$35.5 juta di New York yang didakwa dibeli Riza dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Pendakwa raya berkata, Riza membeli hartanah daripada Low Taek Jho, yang menghadapi tuduhan jenayah di Malaysia dan AS di atas peranannya yang dianggap sebagai dalang dalam kes 1MDB.

Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low, secara konsisten menafikan salah laku dan tidak diketahui lokasi beliau ketika ini.

Riza adalah pengasas bersama firma pengeluaran Hollywood Red Granite Pictures, yang menerbitkan filem "The Wolf of Wall Street". Pada 2017, Red Granite membayar kerajaan AS$60 juta untuk menyelesaikan saman pelucuthakan berkaitan tiga filem yang didakwa dibiayai dengan dana 1MDB.

Bulan lalu, Riza mengaku tidak bersalah di Malaysia atas lima tuduhan pengubahan wang haram, membabitkan kira-kira AS$248 juta dalam dana 1MDB.

Pihak berkuasa di sekurang-kurangnya enam negara sedang menyiasat kes berkaitan pengubahan wang haram dan rasuah dikaitkan dengan 1MDB, yang ditubuhkan Najib pada 2009.

Najib, yang hilangan kuasa pada pilihan raya umum tahun lalu, menghadapi 42 tuduhan jenayah berkaitan kerugian di 1MDB dan entiti kerajaan lain. Beliau secara konsisten menafikan salah laku.

- Reuters

Lihat Komen
ADS