'Tidak berlaku timbunan kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Sabah'
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah menafikan laporan sebuah portal kononnya berlaku timbunan kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Sabah akibat ketiadaan Ketua Hakim Syarie Negeri.
Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut kerana ianya telah dibuat tanpa merujuk kepada pihaknya.
Menurut kenyataan itu, sehingga kini, terdapat hanya enam kes rayuan yang telah sedia untuk dijadualkan di hadapan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri yang baru sahaja selesai di peringkat pengurusan kes.
"Terdapat hanya satu kes rayuan yang masih dalam prosiding di hadapan Hakim-Hakim Rayuan yang telah dijadualkan pada 22 Ogos 2019.
"Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali dakwaan (laporan portal berita pada hari ini) bahawa pada masa ini Mahkamah Rayuan Syariah Sabah sedang bergelut dengan timbunan kes atas ketiadaan Ketua Hakim Syarie Negeri," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah Hakim-Hakim Rayuan Mahkamah Rayuan Syariah Sabah telah pun dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah dan tempoh perlantikan mereka masih berkuatkuasa.
Menurut kenyataan itu penjadualan kes rayuan masih boleh dibuat kerana bilangan Hakim-Hakim Rayuan yang mempunyai tauliah perlantikan adalah mencukupi korum.
Perlantikan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai Pengerusi sidang Mahkamah Rayuan Syariah Negeri menurut kehendak Seksyen 19(3) Enakmen Mahkamah Syariah Sabah 2004 adalah juga masih berkuatkuasa, kata kenyataan itu.
Portal berita hari ini melaporkan Mahkamah Syariah Sabah bergelut dengan timbunan kes rayuan dan permohonan yang tertangguh kerana ketiadaan Ketua Hakim Syariah yang sudah masuk bulan keempat.
-Bernama

