Peruntukan Malaysia Reverts Camp RM1 juta
Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) telah memperuntukkan RM1 juta bagi program Malaysia Reverts Camp 2019 yang menghimpunkan saudara baru dari dalam dan luar negara
Perkara itu dilaporkan Bernama yang memetik Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam.
Acara itu mendapat perhatian umum selepas penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dijadual berucap.
Bagaimanapun, penyertaan Zakir dan keluarganya dibatalkan atas nasihat Asri dan polis susulan ucapannya di Kelantan sebelum itu mencetuskan kontroversi.
Zakir mencetuskan kontroversi baru selepas dilapor mempersoal kesetiaan penganut Hindu kepada perdana menteri dan mencadangkan “tetamu lama” Cina pulang dahulu sebelumnya.
Pemastautin tetap Malaysia yang dikehendaki kerajaan India itu bagaimanapun mendakwa laporan berkaitan kenyataannya di Kelantan itu dipetik di luar konteks.
Asri Zainul menjelaskan pengecualian Zakir itu bukan kerana benci tetapi demi kebaikannya dan keluarga.
Malaysia Revert Camp @ Perlis 2019 disusun supaya melibatkan banyak tokoh pendakwah mualaf, seperti Xifu Naser, Shah Kirit, Firdaus Wong, Zamri Vinoth dan Ridhuan Tee.
Revert atau kembali kepada fitrah ialah istilah yang turut digunakan terhadap pihak yang memeluk Islam.
Ia dianjurkan oleh NGO dakwah One Centre Malaysia yang berpangkalan di Perlis.
Kem tiga hari itu mempunyai banyak acara termasuk forum, kuliah, klinik solat, acara khas Mulismah, bengkel pengucapan awam dan pidato, pertandingan tilawah, program bual bicara serta aktiviti sukan dan rekreasi.

