Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bicara kes 1MDB ditangguh, baru 15 berkas dokumen diserah
Diterbitkan:  Aug 19, 2019 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Perbicaraan berprofil tinggi yang dinanti-nantikan membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama, ditangguhkan sehingga Isnin depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib, juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’ yang dijadual bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, supaya perbicaraan itu ditangguhkan kerana pihak pendakwaan baru menyerahkan 15 berkas dokumen dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan.

Sri Ram berkata ia juga untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC hampir menamatkan kes itu dengan saksi terakhir pendakwaan masih belum selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; bulan September dan Oktober kecuali pada Jumaat; dan dua minggu pertama November bagi perbicaraan kes 1MDB bekas perdana menteri itu.

Pihak pendakwaan telah memohon supaya perbicaraan itu ditangguhkan bagi kali keempat untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC Najib.

Pada 18 Julai, Hakim Justice Sequerah menolak notis usul pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Pada 8 Julai, Hakim Sequerah menolak permohonan lisan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menangguhkan kes 1MDB yang dijadualkan pada 19 Ogos sehingga kes SRC diselesaikan.

Pada 30 April, pihak pendakwaan memfailkan usul pertama untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang telah ditetapkan selama 14 hari dari 15 April hingga 3 Mei. Hakim membenarkan permohonan itu dan menjadualkan semula kes berkenaan dari 14 Mei hingga 21 Jun.

Pada 2 Mei, pihak pendakwaan memohon satu lagi penangguhan menerusi permohonan lisan. Mahkamah membenarkan penangguhan itu dan menjadualkan semula perbicaraan kepada 19 Ogos.

Pada 20 Sept 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Najib, yang diwakili sepasukan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 25 pertuduhan itu dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengenai empat pertuduhan rasuah, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

-Bersatu

Lihat Komen
ADS