Paling Popular
Terkini

Terpulang kepada Umno Sabah untuk menentukan keputusan sama ada mahu bertanding ataupun tidak di Parlimen Kimanis sekiranya pilihan raya semula diadakan, kata Annuar Musa.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, Umno Sabah diberi autonomi untuk membuat keputusan mengenainya.

"Umno Sabah diberikan keutamaan untuk kemuka syor apa langkah patut kita lakukan. Kita beri ruang kepada Umno Sabah.

"Saya akan turun ke Sabah hujung minggu ini, pada 25 Ogos berdasarkan arahan presiden semalam untuk bertemu pimpinan Umno Sabah.

"26 Ogos saya akan bertemu Umno Kimanis, untuk buat tinjauan awal," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya Kota Kinabalu mengisytiharkan kemenangan bekas menteri luar, Anifah Aman di kerusi parlimen Kimanis pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 tahun lalu tidak sah dan terbatal.

Hakim, Lee Heng Chung berkata hasil siasatan mendapati wujud unsur manipulasi, termasuk penambahan 284 dan 57 undi di 2 pusat mengundi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Beliau memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya melanggar Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan undi tambahan itu ialah faktor yang mempengaruhi keputusan di Kimanis, oleh itu pilihan raya kecil perlu diadakan.

Mahkamah turut mengarahkan SPR membayar kos RM100,000 kepada Karim Bujang yang memfailkan petisyen itu pada 18 Jun 2018 dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya di kerusi Kimanis serta SPR sebagai responden ke-2 dan ke-3.

Dalam pada itu, Annuar berkata masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang kerusi parlimen Kimanis kerana Anifah masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan.

Bagaimanapun sekiranya pilihan raya semula diadakan, Umno akan duduk bersama PAS bagi membincangkan strategi untuk merampas kerusi berkenaan.

"Di pihak kita Umno, bila ada mana-mana pilihan raya, kita akan duduk dan bincang secara bersama (PAS), atur strategi. Itu (perbincangan) belum dilakukan sebab belum ada keputusan muktamad.

"Kalau betul berlaku pilihan raya, presiden Umno dan PAS akan duduk bersama," katanya.

Lihat Komen
ADS