Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penguatkuasa JPJ mengaku tidak bersalah terima rasuah

Seorang lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,300 bagi melindungi pemandu-pemandu lori sebuah syarikat pengangkutan yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Hanisham Din, 48, turut menafikan lapan pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuknya suatu benda berharga tanpa balasan daripada syarikat yang sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori syarikat berkenaan.

Mengikut pertuduhan utama, Penolong Penguat Kuasa JPJ gred KP26 itu didakwa menerima suapan wang tunai daripada Syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat itu yang mungkin melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Perai antara 12 Jan 2016 hingga 8 Sept 2016.

Kesemua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada syarikat terbabit, bagi tujuan yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat itu di tempat dan tarikh yang sama.

Untuk pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan menanggung ibunya selain memerlukan wang untuk rawatan sakit jantung yang dihidapnya sejak 2001.

Hakim Nizam Zakaria kemudiannya membenarkan tertuduh diikat RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, seramai 27 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang termasuk dua bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama. Lebih 70 orang pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan Januari lalu selepas disyaki terlibat menerima rasuah untuk melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS