Paling Popular
Terkini

Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, berkunjung sekali lagi ke Bukit Aman petang ini.

Bagaimanapun kedatangan Zakir ke ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bukanlah untuk memberi keterang berhubung laporan polis yang dibuat ke atasnya.

Sebaliknya, menurut peguam Zakir, Akhberdin Abdul Kadeer, pendakwah yang dikehendaki New Delhi itu datang untuk memberikan keterangan terhadap laporan polis yang dibuatnya.

“Kami akan memberikan keterangan mengenai laporan polis oleh Zakir terhadap Kula, Ramasamy, Dennis Ignatius, Satees Muniandy dan Charles Santiago," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej pesanan ringkas sebelum itu.

Akhberdin membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy; Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy; Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago dan bekas duta Malaysia ke London, Beijing dan Washington, Ignatius.

Menurut Akhberdin, mereka menetapkan sendiri tarikh dan waktu untuk memberi keterangan tersebut.

"Sejak Isnin lalu kami tidak mempunyai banyak masa (untuk datang ke Bukit Aman)," katanya.

Zakir bersama Akhberdin tiba secara berasingan di pintu masuk Bukit Aman kira-kira jam 3.40 petang tadi. Zakir menaiki kereta Toyota Innova manakala peguam terbabit menggunakan Honda Civic hitam.

Mereka tidak melayan sebarang soalan dikemukakan wartawan yang menunggu di situ, sebaliknya terus memasuki Bukit Aman.

Lihat Komen
ADS