Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS mendakwa parti itu sudah menasihati Dr Zakir Naik supaya berhati-hati membicarakan isu politik negara ini namun kenyataan pendakwah dari India itu dipolitikkan DAP.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata pihaknya menyarankan agar Zakir menumpukan tugasnya sebagai pendakwah.

"Cuma kita kena sedar, isu beliau telah dipolitikkan oleh DAP. Bukan beliau (Zakir) yang mempolitikkan, (tapi) DAP yang mempolitikkan," katanya.

Justeru kata Abdul Hadi PAS mengambil sikap untuk menjawab isu berkenaan dan bukannya Zakir sendiri.

"Zakir perlu fokus kepada dakwah, bukan hal politik... dakwah secara akedemik," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi mempengerusikan mesyuarat bersama PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Berjasa yang bergabung dalam Gagasan Sejahtera.

Gabungan itu ditubuhkan menjelang PRU ke-14 lalu dan menyaksikan PAS merangka strategi untuk menjadi penentu kuasa (king maker) dalam politik negara.

Keputusan PRU menyaksikan PAS kekal sebagai pembangkang namun berjaya menawan Terengganu daripada Umno dan mengekalkan penguasaan ke atas Kelantan. PAS dan Umno kini bekerjasama erat pula sebagai pembangkang, bersama-sama MIC dan MCA.


Baca Hadi: DAP itu 'anak butir t**k PAP'


Terdahulu Abdul Hadi ditanya mengenai pandangan Presiden MIC, SA Vigneswaran yang kecewa dengan sikap beberapa pemimpin PAS dalam menangani isu Zakir.

Semalam Malaysiakini melaporkan, MIC sedih kerana berpendapat PAS sepatutnya memberikan nasihat kepada Zakir agar menghormati bangsa lain di negara ini.

"Bukannya menggalakkan dia untuk mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Hubungan MIC dengan PAS sebelum ini adalah sebagai musuh politik, sesuai kedudukan parti kaum India itu sebagai sebahagian daripada kerajaan BN, sehinggalah PH berjaya menguasai Putrajaya pada Mei tahun lalu.

Sejak itu, kedua-dua terbabit mula bekerjasama, malah pada Mac lalu, Presiden PAS menganggap kerjasama mereka seumpama sebuah keluarga.

Zakir menuai kontroversi semasa berceramah di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, baru-baru ini. Beliau hadir ke Kelantan atas jempuran kerajaan negeri yang dikuasai PAS.

Abdul Hadi berkata PAS cuma memain peranan menjawab serangan terhadap Zakir kerana isu berkenaan telah dimainkan parti politik.

"Apabila isu ini timbul, biar kita (PAS) tangani, kerana parti politik yang memainkan isu ini, bukan beliau (Zakir).

"Beliau hanya beri jawapan bagi pihak dirinya. Dakwah mesti melibatkan isu agama, perbandingan agama, perbandingan secara ilmu," katanya.

Abdul Hadi yang memang konsisten mengecam DAP berkata, apa yang penting ialah setiap kenyataan Zakir dijawab dengan hujah.

"Kalau tak boleh jawab dengan hujah, jangan marahlah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS