Harga runcit minyak diselaras mulai 1 April
Mulai 12 April ini harga runcit minyak petrol, diesel dan gas asli cecair (LPG) yang dijual di stesen-stesen minyak di negara ini akan diselaraskan.
Mulai 12 April ini harga runcit minyak petrol, diesel dan gas asli cecair (LPG) yang dijual di stesen-stesen minyak di negara ini akan diselaraskan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal berkata keputusan itu dicapai hasil perjumpaan beliau dengan para pengendali syarikat-syarikat minyak di ibunegara pagi tadi.
Beliau berkata sebelum ini harga runcit minyak yang dijual di stesen-stesen minyak di negara ini berbeza antara satu hingga dua sen, bergantung kepada kawasan.
Beliau berkata mulai 1 April harga minyak petrol RON097 di Semenanjung ialah RM1.92 seliter, RON92 RM1.88, diesel RM1.581 dan LPG RM1.75 se kg.
Harga di Sabah pula ialah RM1.90 seliter untuk RON97, RM1.88 untuk RON92, RM1.584 untuk diesel dan RM1.83 untuk LPG.
Di Sarawak, harga runcit petrol RON97 ialah RM1.91 seliter, RON92 RM1.88, diesel RM1.578 dan LPG RM1.83 se kg, katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran awal sambutan Hari Harta Intelek Negara.
Menurut laporan Bernama, Shafie berkata perbezaan harga minyak di sesetengah stesen minyak itu telah lama berlaku berikutan kos pengangkutan.
Beliau berkata sistem pengangkutan jalan raya di negara ini kini begitu baik dan tidak boleh dijadikan alasan untuk pengendali syarikat-syarikat minyak mengenakan harga yang berbeza kepada pengguna berdasarkan lokasi sesebuah stesen minyak itu.
Beliau berkata kerajaan akan memantau perkara itu bagi memastikan lebih 2,700 stesen minyak di negara ini mematuhi penyelarasan harga yang dibuat.
"Kementerian itu telah mengeluarkan arahan kepada pengendali syarikat-syarikat minyak dan mereka perlu memaklumkan perkara itu kepada stesen-stesen minyak masing-masing untuk dipatuhi," katanya.
Shafie berkata selain itu, stesen-stesen minyak juga tidak boleh menetapkan had harga minimum kepada orang ramai untuk membeli minyak kerana tidak ada peraturan atau perundangan yang ditetapkan kerajaan untuk tujuan itu.
Shafie berkata amalan sesetengah stesen minyak itu mungkin disebabkan mereka mendapati RM1 kecil dan tidak sepadan untuk mengepam minyak ke dalam kenderaan.
"Ada sesetengah stesen minyak menetapkan had minimum RM5 untuk membeli minyak...perkara itu salah. Bagi sesetengah orang terutama di kampung-kampung, RM1.50 pun dah cukup tinggi untuk mereka mengisi minyak motosikal," katanya.
Beliau berkata minyak ialah barangan kawalan dan tidak sepatutnya mempunyai had minium pembelian.

