Dakwaan KLIA disabotaj amat serius - IGP
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memaklumkan dakwaan sabotaj terhadap sistem rangkaian lapangan terbang antarabangsa KLIA sebagai amat serius.
Beliau dipetik BH Online berkata sesiapa yang didapati melakukan tindakan berniat jahat itu bakal berdepan hukuman berat.
“Sebarang laporan yang diterima akan disiasat secara terperinci kerana dakwaan wujudnya sabotaj amat serius.
“Jika terbukti (berlaku sabotaj), hukuman yang menanti amat berat.
“Kes masih di peringkat siasatan dan laporan diterima akan diselidik daripada setiap sudut,” katanya hari ini.
Semalam, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membuat laporan polis berhubung gangguan rangkaian yang berlaku di KLIA bermula Rabu hingga Sabtu minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, dilaporakan berkata, pihaknya telah menerima laporan yang dibuat seorang pengurus kanan Bahagian Teknologi Maklumat MAHB.
Jelasnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, dilaporkan berkata, masalah gangguan sistem dialami di KLIA minggu lalu berpunca daripada kegagalan rangkaian.
Susulan itu, MAHB dalam kenyataan media memaklumkan, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA berpunca daripada tindakan berniat jahat.
Kementerian Pengangkutan turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA berikutan insiden terbabit.

