Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari pertama: K'jaan BN jadi curiga pada media sosial lepas PRU 2008 - saksi

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkaan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB akan bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib menghadapi empat pertuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan yang dinanti-nantikan ini berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

Malaysiakini membawakan laporan langsung prosiding mahkamah.


Perbicaraan ditangguh ke esok

1.30 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram meminta perbicaraan ditangguhkan ke pukul 9.30 pagi esok.

Ia selepas pihak pendakwaan dan pembelaan menyelesaikan pemeriksaan terhadap saksi keempat pendakwaan, Noorhaina Hirawani Mohd Noor.

Sri Ram memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah Nooraina - bekas pengarah Orb Solutions Sdn Bhd - adalah saksi terakhir pihaknya untuk hari ini.

Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah kemudian memberitahu mahkamah yang tertuduh, Najib Razak, perlu hadir ke sebutan satu lagi kes di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pagi esok, dan meminta hakim memberi sedikit masa kepada mereka sebelum menyambung perbicaraan.

Sequerah membenarkan permintaan itu dan menangguhkan perbicaraan hari ini.


Kempen 'Malu Apa Bossku' mungkin tercetus lepas berurusan dengan Orb Solutions

1.27pm - Kempen Malu Apa Bossku oleh Najib Razak mungkin tercetus selepas berurusan dengan Orb Solutions yang menguruskan media sosial bekas perdana menteri sebelum ini, kata bekas pengarah syarikat itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, Noorhaina Hirawani Mohd Noor berkata mungkin terdapat kaitan antara masa lampau Najib ketika berurusan dengan syarikat itu.

Saksi keempat berkata Najib mungkin lebih terbuka dengan kempen Malu Apa Bossku kerana apa yang beliau telah pelajari daripada pihak yang menguruskan komunikasi dalam taliannya, Orb Solutions seperti perbincangan di Google Hangouts mengenai pasca belanjawan dan komunikasi krisis seperti tragedi yang menimpa penerbangan MAS MH17 dan MH370.

"Barangkali ada hubung kaitnya," kata Noorhaina memberitahu mahkamah.


Bayaran RM2j pada Orb Solutions bukan untuk faedah peribadi Najib - Saksi

1.25pm - RM2 juta yang dibayar kepada Orb Solutions untuk mengendalikan perkhidmatan digital perdana menteri ketika itu Najib Razak tidak memberi faedah kepadanya, kata saksi kedua Noorhaina Hirawani Mohd Noor memberi keterangan.

Dia berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: RM 2 juta yang diberikan semata-mata bagi tujuan itu kepada Orb Solutions, antara lain untuk perbelanjaan dan projek serta komunikasi media?

Noorhaina: Ya.

Shafee: Tidak ada untuk faedah peribadi perdana menteri Najib? Hanya untuk tujuan berkenaan dengan Orb Solutions?

Noorhaina: Ya.


Saksi: K'jaan BN jadi curiga pada media sosial lepas PRU 2008

1.08 tengah hari: Selepas PRU 2008, kerajaan BN menjadi curiga dan berprasangka kepada media sosial, kata saksi keempat Noorhaina Hirawani Mohd Noor.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, bekas pengarah Orb Solutions menjelaskan mengapa syarikat itu diambil untuk membantu menguruskan imej (presence) Najib - ketika itu timbalan perdana menteri.

"Kerana pada masa itu kemenangan BN merosot pada PRU 2008. Saya rasa ada keyakinan pada masa itu bahawa salah satu sebab ialah pembangkang menggunakan ruang atas talian dengan lebih cekap berbanding kerajaan.

"Pada masa sama, kerajaan ketika itu juga melihat media sosial dan komunikasi atas talian dengan prasangka dan curiga," katanya.

Justeru, katanya, untuk memanfaatkan potensi komunikasi atas talian, ada tanggapan yang ia perlu dilakukan dari luar dan dalam kapasiti peribadi, bukannya kerajaan.


Pembelaan minta henti sebentar, perlu dapatkan arahan Najib

12.35 tengah hari: Perbicaraan sekali lagi dihentikan sebentar selepas hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk itu.

Ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah yang dia perlu mendapatkan arahan daripada anak guamnya, Najib Razak, sebelum memulakan pemeriksaan balas dengan saksi keempat, Noorhaina Hirawani Mohd Noor.

Noorhaina merupakan bekas pengarah Orb Solutions Sdn Bhd. 

Syarikat itu ditubuhkan pada 2008 untuk mengendalikan perkhidmatan digital untuk Najib Razak, ketika itu timbalan perdana menteri, seperti menguruskan akaun media sosial dan imejnya (presence) di atas talian.


Cek RM2 juta diterima syarikat dari Najib - bekas pengarah

12.20 tengah hari: Bekas pengarah Orb Solutions Sdn Bhd Noorhaina Hirawani mengesahkan cek yang diterima syarikat perkhidmatan digital itu beberapa tahun lalu.

Ketika pemeriksaan utama oleh DPP Gopal Sri Ram, dia berkata boleh mengesahkan jika cek itu ditunaikan berpandukan penyata akaun syarikat itu.

Ketika ditanya Sri Ram jika dia tahu pemberi cek itu, Noorhaina berkata dia yakin ia diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Dia juga berkata syarikat itu memang ada menerima pembayaran melalui cek.

Terdahulu, Noorhaina berkata Najib adalah satu-satunya pelanggan yang menggunakan khidmat Orb Solutions.

Syarikat itu dinamakan dalam pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB yang dihadapkan kepada Najib.


Bekas pengarah syarikat jaga media sosial Najib beri keterangan

12.10 tengah hari: Pendakwaan memanggil saksi keempatnya, Noorhaina Hirawani Mohd Noor. Dia ialah bekas pengarah sebuah syarikat perkhidmatan digital, Orb Solutions Sdn Bhd.

Menurut Noorhaina, syarikat itu ditubuhkan pada 2008 untuk mengendalikan perkhidmatan digital untuk Najib Razak, ketika itu timbalan perdana menteri, seperti menguruskan akaun media sosial dan imejnya (presence) di atas talian.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram, dia menjelaskan sebab syarikat itu diwujudkan untuk memberikan khidmat seperti itu kepada Najib.

"Untuk berhubung dengan orang awam dengan cara yang kurang formal, memandangkan pada masa itu kerajaan agak berhati-hati dengan komunikasi atas talian dan media sosial, dan tiada kegiatan seumpama itu dilakukan di saluran rasmi," katanya.

Noorhaina juga berkata Najib adalah satu-satunya pelanggan yang menggunakan khidmat Orb Solutions.


Saksi cuti sakit dapat jangkitan selesema H1N1

11.48am - Prosiding mahkamah bersambung selepas berehat sebentar.

Dua orang lagi saksi akan tampil memberi keterangan di mahkamah hari ini, manakala seorang lagi tidak dapat hadir kerana jatuh sakit akibat jangkitan selesema H1N1.

Pendakwaraya utama Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan mempunyai dua lagi saksi untuk memberi keterangan pad ahari ini.

Katanya, sepatutnya pada hari ini tiga orang saksi akan memberi keterangan tetapi salah seorang daripadanya mendapat jangkitan selesema H1N1.

Perbicaraan bersambung dengan saksi pendakwaan ketiga, Farah Nurdiana Azhar, yang merupakan pegawai yang bertugas di Bahagian Parlimen tampil memberi keterangan.


Najib dapat bayaran khas RM1 juta bila letak jawatan PM

11.16am - Saksi kedua pendakwaan ialah Natasha Rahimah Haryati Mohamad, seorang akauntan dalam satu unit Bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri, mengesahkan Najib Razak menerima pembayaran khas sebanyak RM1 juta apabila meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada tahun 2018.

Dia berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh DPP Ahmad Akram Gharib.

"Pada bulan Mei 2018, terdapat bayaran khas yang ditetapkan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, di mana terdapat bayaran khas sebanyak RM1 juta yang layak dibayar sekali apabila perdana menteri bersara," katanya.

Apabila saksi kedua dibebaskan dari kandang saksi selepas pemeriksaan ringkas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan prosiding berehat sebentar.


11am - Selepas pemeriksaan balas ringkas terhadap saksi pertama Farizah Ahmad berhubung sekiranya dia sedar kedudukan lain Najib dalam badan berkanun, peguam Muhammad Shafee Abdullah menamatkan pemeriksaan balas itu.

DPP Ahmad Akram Gharib kemudian meminta Farizah dibebaskan daripada kandang saksi, dan meminta saksi pendakwa kedua untuk mengambil tempatnya.


10.58am - Pendakwaan menggulung pemeriksaan balas terhadap saksi pertama Farizah Ahmad,.

Peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memulakan pemeriksaan balas terhadap timbalan sekretariat kabinet itu.


Pendakwaan akan buktikan Najib campur tangan dalam siasatan 1MDB

10.30am - Menyimpulkan kenyataan pembukaan pihak pendakwaan, DPP Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah pihaknya juga akan membuktikan bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho telah mengambil langkah-langkah untuk menutup jejak mereka dalam kes 1MDB.

Pendakwaan juga akan mengemukakan bukti untuk menunjukkan bahawa Najib telah mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan dibawa ke muka pengadilan dan mengganggu penyiasatan pihak berkuasa terhadap syarikat milik kerajaan itu.

"Selepas skandal 1MDB pecah (dilaporkan) pada awal Julai 2015, tertuduh dengan imej cerminnya, Jho Low mengambil langkah untuk menutup jejaknya.

"Dokumen palsu dibuat untuk menunjukkan kononnya terdapat derma daripada seorang putera Arab. Diantaranya adalah surat dan empat cek masing-masing dengan jumlah AS$25 juta yang dikatakan ditulis oleh seseorang yang dikatakan sebagai penderma Arab.

"Tetapi cek ini tidak pernah dimaksudkan untuk ditukar dengan wang tunai dan tidak pernah ditunaikan.

"Pihak pendakwaan juga akan menghasilkan bukti untuk menunjukkan bahawa tertuduh mengambil langkah aktif untuk mengelakkan keadilan.

"Beliau campur tangan dengan penyiasatan kes ini yang telah dikenali sebagai skandal 1MDB.

"Beliau mengambil langkah-langkah aktif untuk menutup tindakan jenayahnya," kata Sri Ram.


Jho Low itu alter ego Najib - Pendakwaan

10.15am - Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah matlamat mereka untuk membuktikan bahawa dalam kes 1MDB ini ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, sebenarnya ialah alter ego kepada bekas perdana menteri Najib Razak (Jho Low adalah Najib Razak juga).

DPP Gopal Sri Ram berkata Jho Low terbabit dalam Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian bertukar nama menjadi 1MDB.

"Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh dengan kata-kata dan kelakuannya jelas kepada pegawai-pegawai 1MDB, lembaga dan lain-lain bahawa Jho Low ialah alter egonya.

"Sebenarnya, Jho Low adalah cerminan imej tertuduh. Pendakwaan akan membuktikan fakta yang akan menimbulkan kesimpulan yang tidak dapat dinafikan bahawa Jho Low dan tertuduh bertindak sebagai satu (entiti) pada setiap masa," kata Sri Ram.

Menurut kenyataan pembukaan pendakwaan yang dibaca oleh Sri Ram, dalam 'kepura-puraan yang dirancang' (elaborate charade) itu Jho Low menjadi watak penting di dalamnya.

Beliau berkata perancangan yang dibuat dalam empat fasa itu melibatkan beberapa watak, manakala Najib ialah orang yang memainkan peranan penting dengan objektif untuk memperkaya dirinya.

"Walaupun kes ini merangkumi empat fasa, peristiwa yang berkaitan dengannya perlu dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada cerita secara berturut-turut kerana rancangan yang telah diatur oleh tertuduh untuk memperkaya dirinya."

10.15 am - Bekas hakim mahkamah persekutuan dan ketua pendakwaraya DPP Gopal Sri Ram masih membacakan pernyataan pembukaannya pada hari pertama perbicaraan kes Najib Razak hari ini ke atas 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 bilion dana 1MDB.


Najib wakil penuh kerajaan dalam 1MDB - DPP

10.08am - Mahkamah mendengar pernyataan pembukaan perbicaraan 1MDB daripada DPP Gopal Sri Ram bahawa pendakwaan akan membuktikan Najib Razak sebagai wakil penuh kerajaan (plenipotentiary) dalam syarikat pelaburan negara itu.

Beliau mengatakan Najib memainkan peranan penting dalam meminda artikel syarikat yang kemudiannya membenarkan beliau mempunyai kawalan penuh terhadap perniagaan dan hal ehwal 1MDB.

Najib juga memainkan peranan dalam menukar nama 1MDB daripada nama asalnya Terengganu Investment Authority, kata DPP.

"Ringkasnya, beliau ialah wakil penuh kerajaan (plenipotentiary)," katanya.


Shafee: Kalau rayuan terhadap lantikan Gopal berjaya, maka bicara 1MDB batal

10.05am - Sebelum Ketua Pendakwaraya Gopal Sri Ram memulakan pendengaran dengan kenyataan pembukaan pendakwaan, peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah meminta kepada mahkamah untuk membuat kenyataan.

Beliau kemudian memberitahu mahkamah mengenai rayuan yang difailkan oleh tertuduh Najib Razak dan dirinya sendiri terhadap pelantikan Sri Ram sebagai DPP dalam kes mereka yang berkaitan dengan 1MDB, di mana Mahkamah Rayuan minggu lepas memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Shafee berkata walaupun beliau tidak mahu membuat sebarang permohonan untuk menunda atau penangguhan perbicaraan 1MDB, beliau mahu memaklumkan bahawa jika mahkamah mendapati pelantikan Sri Ram adalah tidak sah, maka perbicaraan ini mungkin akan dibatalkan atau tertuduh dibebaskan.

Sri Ram bagaimanapun berhujah pihak pendakwaan mempunyai pendapat yang berbeza mengenai hal tersebut, dan perbicaraan kes ini boleh bermula..

Mahkamah kemudiannya membenarkan Sri Ram untuk meneruskan, dan mula membaca kenyataan pembukaan pendakwaan.


9.54am -  Najib Razak mengambil tempat duduk masuk ke kandang tertuduh.


Prosiding mula

9.53am - Hakim Collin Lawrence Sequerah memasuki mahkamah, menandakan permulaan hari pertama perbicaraan 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Pendakwaraya utama Gopal Srim Ram kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah senarai peguam dari kedua-dua pihak yang akan terlibat dalam perbicaraan.


Bekas hakim Gopal Sri Ram ketuai pendakwaan

9.42am - Senarai DPP pasukan pendakwaan:

  1. Gopal Sri Ram
  2. Ahmad Akram Gharib
  3. Mohammad Mustaffa P Kunyalam
  4. Deepa Nair Thevaharan
  5. Nadia Mohd Izhar
  6. Najwa Bistamam
  7. Hazmida Harris Lee
  8. Tan Song Yan


Shafee ketuai pasukan peguam bela Najib

9.40am - Pasukan pembelaan mengeluarkan senarai peguam yang akan mewakili Najib dalam perbicaraan ini. 

Mereka ialah:

  1. Muhammad Shafee Abdullah
  2. Tania Scivetti
  3. Al Firdaus Shahrul
  4. Syazwani Zawawi
  5. Nur Fazreen Hazrina Rahim
  6. Wan Aizuddin Wan Mohammed
  7. Rahmat Hazlan
  8. Muhammad Farhan Shafee
  9. Mardhiyah Sirajkumar
  10. T Chelvakumar
  11. Syahirah Hanapiah
  12. Zahria Eleena Redza


9.32am - Najib Razak masuk ke bilik mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.


Najib, 66, berdepan empat tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) undang-undang yang sama.

Bekas perdana menteri itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali hari Jumaat; dan dua minggu pertama pada bulan November untuk mendengar perbicaraan kes 1MDB Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS