PRN Melaka: Setiausaha politik PM sah bertanding di DUN Paya Rumput
Setiausaha politik perdana menteri, Azman Abidin, mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.
Azman, yang juga pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.
"Ya, saya akan bertanding di PRN Melaka di DUN Paya Rumput," katanya.
Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa Azman yang juga ketua cabang PKR Bandar Tun Razak akan bertanding di PRN Melaka.
Pada PRN 2021, DUN itu dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) Rais Yasin dengan majoriti 629 undi dalam pertandingan lima penjuru termasuk oleh bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang bertanding di bawah tiket PH.
Rais kemudian dilantik sebagai exco kerajaan negeri dan sejak April 2023 memegang jawatan exco kanan bagi portfolio perumahan, kerajaan tempatan, saliran, perubahan iklim dan pengurusan bencana.
Namun, pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh pada 4 Oktober berkata BN akan memberi laluan kepada parti rakan di Paya Rumput setelah persefahaman pilihan raya bagi PRN kali ini dimuktamadkan.
Dia yang juga adalah ketua menteri Melaka berkata, Rais selaku penyandang kerusi itu akan berpindah untuk bertanding di DUN Sungai Udang.
Pada PRN sebelumnya, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandiingkan dan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
PH memperoleh lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat dua kerusi, iaitu Sungai Udang dan Bemban.
PRN 2021 turut menyaksikan PKR tewas di semua 11 kerusi yang ditandinginya, termasuk Paya Rumput.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov 2026 sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka ke-16 manakala 31 Okt pula sebagai hari penamaan calon.
Pengerusi SPR Ramlan Harun turut mengumumkan 10 Nov depan bagi hari pengundian awal PRN Melaka.
Menurutnya seramai 687,697 pengundi daripada daftar terkini sehingga 22 Sept lalu layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN berkenaan.
Ini terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan 2,762 anggota polis serta pasangan mereka.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/AzmanAbidindddd_199543.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.