‘Muhibahnya dulu-dulu, Melayu Cina datang rumah waktu Deepavali’
Menteri perpaduan P Waythamoorthy mengimbau kenangan hidup dalam suasana muhibah ketika zaman kecilnya.
“Ketika darjah satu, malah ketika masih belajar di tadika, saya sendiri masih ingat rakan bapa saya daripada kaum Melayu dan Cina datang ke rumah kami untuk turut sama sambut Deepavali dan ia disambut secara berterusan selama beberapa hari,” beliau dipetik sebagai berkata.
Waythamoorthy berkata demikian kepada Bernama ketika mengimbau kembali kenangan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada tahun 1975.
Waythamoorthy berkata bapanya A Ponnusamy menceritakan bahawa perpaduan antara kaum pada masa itu amat rapat dan bagaikan keluarga besar.
Agensi berita nasional juga melaporkan Waythamoorthy semalam melawat Teratak Muhibah Mak Salmah di Alor Gajah.
Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit bermesra dengan pemilik teratak tersebut Siti Salmah Salleh, 75, yang lebih mesra dengan panggilan Mak Salmah oleh penduduk setempat.

