Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri Hal Ehwal Luar Singapura melawat Kedah dan Pulau Pinang

Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan berada di Malaysia selama dua hari bermula hari ini dalam rangka lawatan ke Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman web, Kementerian Hal Ehwal Luar berkata Singapura mempunyai hubungan erat dari segi sejarah, ekonomi serta tali persaudaraan dengan Kedah dan Pulau Pinang.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha Singapura untuk mengeratkan hubungan yang telah sedia terjalin serta memperkukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia dari semua segi, menurut kenyataan itu lagi.

Di Kedah, Dr Balakrishnan akan menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah serta mengadakan pertemuan dengan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dan Tunku Laksamana Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Menteri itu juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa anggota exco kerajaan negeri.

Di Pulau Pinang, Dr Balakrishnan akan membuat kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Dr Abdul Rahman Abbas dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta beberapa anggota Majls Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau juga akan menemui Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar .

Dr Balakrishnan diringi beberapa orang pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS