Anggota MT Bersatu Rais Hussin menjawab 'sindiran' bahawa beliau memberikan gelaran ketua ahli strategi Bersatu kepada dirinya sendiri.

Rais berkata beliau dipilih mengetuai Biro Dasar dan Strategi Bersatu sejak penubuhannya lagi dan pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad hadir mesyuarat yang membuat lantikan berkenaan.

Beliau juga menafikan pernah menggunakan istilah "chief strategist" (ketua ahli strategi) selepas Dr Mahathir memaklumkan tidak pernah melantik sesiapa memegang jawatan sedemikian.

"Saya dilantik sebagai pengerusi Biro Dasar dan Strategi (Bersatu) sejak hari pertama (penubuhannya).

"Dr Mahathir sendiri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi ketika itu, termasuklah presiden, timbalan presiden, setiausaha agung, bendahari dan lain-lain.

"Saya tidak pernah memanggil diri saya chief strategists (ketua ahli strategi). Malahan jika kamu memeriksa nama penulis pada artikel yang diterbitkan untuk umum, saya jelas menggunakan ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu," katanya kepada Malaysiakini melalui khidmat pesanan ringkas.

Rais juga berkicau di Twitter malam ini bagi menyatakan beliau menerima sokongan selepas Dr Mahathir berkata tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang menjejaskan imej Bersatu.

"Mereka perlu berhati-hati bila membuat pengumuman, kalau mereka membuat pengumuman yang merosakkan imej parti maka tindakan akan diambil terhadap mereka, dan ini diputuskan berkenaan dengan projection (ramalan) kononnya parti harapan ini akan kalah.

"... Majlis Tertinggi akan mengambil tindakan yang dicadangkan oleh Majlis Disiplin," kata pengerusi Bersatu malam ini.

Walaupun tidak menamakan Rais, dipercayai Dr Mahathir merujuk kepada anggota MT tersebut yang dipetik laporan media sebagai berkata PH akan kalah jika PRU dibuat esok.

Rais pada ciapan di media sosial juga memberitahu mereka yang menghantar pesanan menyokongnya bahawa beliau tidak akan berhenti menyuarakan kebenaran.

"Sila ambil tahu, walaupun diri saya masih sedang pulih daripada pembedahan pintasan jantung kali keempat, saya tidak akan lari daripada bercakap benar tanpa rasa takut atau pilih kasih demi kepentingan rakyat!"

Semalam, Rais dilaporkan berkata PH mempunyai tempoh tiga setengah tahun lagi untuk menunaikan janji-janji PRU14.

“Dalam senario sekarang, kalau kita adakan pilihan raya esok, Umno dan PAS akan menang,” kata ahli MT Bersatu itu pada suatu majlis forum anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.