Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiba masa tingkat garis kemiskinan Malaysia - Pakar Bank Dunia

ULASAN | Masihkah anda ingat 1977? Mungkin tidak, kerana kebanyakan daripada generasi kini lahir selepas tahun tersebut.

Waktu itu, pendapatan negara kasar (GNI – Gross National Income) perkapita sekadar RM200 sebulan, dan pendapatan garis kemiskinan (PLI – poverty line income) yang ditetapkan oleh kerajaan hanya sekitar RM50 seorang.

Semenjak itu, Malaysia bertambah maju dan PNK perkapita kini melebihi RM3,800 sebulan. Namun, ukuran PLI meningkat sedikit sahaja, kepada RM245 (RM980 untuk empat orang sekeluarga) berbanding kenaikan PNK.

Maka tidak hairanlah, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak lain menyarankan, kajian ukuran PLI ini perlu dikaji semula seiring dengan perubahan masa dan piawaian antarabangsa.

Apapun ukuran yang dipakai, tidak boleh dinafikan Malaysia telah berjaya dalam usaha menangani kemiskinan.

Penurunan ketara tahap kemiskinan kepada kurang daripada satu peratus sekarang berbanding separuh rakyat Malaysia pada 1970 dengan menggunakan ukuran PLI kini meletakkan Malaysia antara negara yang terbaik dunia dalam menangani isu kemiskinan.

Akan tetapi, sudah tiba masanya nilai PLI ini ditingkatkan, malah garis kemiskinan mutlak perlu lebih dinamik.

Bukan setakat keperluan asas

PLI dan indeks kemiskinan pelbagai dimensi (MPI – Multidimensional Poverty Index) jika digunakan secara bersama mampu menilai kemakmuran dan pembangunan yang dicapai negara secara inklusif, dengan syarat kedua-dua ukuran ini diperbetulkan bagi mencerminkan realiti sebenar Malaysia.

Suatu tanggapan salah umum jika garis kemiskinan mutlak hanya dirujuk kepada keperluan asas hidup dan nutrisi minimum.

Miskin atau tidak bukan hanya bergantung pada ikhtiar hidup. Ia juga merangkumi keperluan untuk hidup secara sihat, berdaya, bermaruah dan bermakna dalam masyarakat.

Maka sebab itulah hampir setiap negara merombak ukuran kemiskinan mereka seiring pembangunan dan peningkatan taraf hidup masing-masing.

Pendapatam isi rumah RM2,550 sebulan

Konsep ini dihuraikan dengan jelas dalam panduan metodologi Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Eropah yang dirujuk Malaysia dalam penetapan PLI, yang menyatakan, “kadar ukuran mutlak, iaitu sebakul barang keperluan isi rumah, perlu memperlihatkan keadaan semasa seiring keperluan rakyat.”

Contoh terkini ialah Mexico, di mana pendapatan negara kasarnya agak serupa dengan Malaysia. Pada 2018, panel berautonomi yang merangka garis kemiskinan Mexico telah meningkatkan nilai ukuran kemiskinannya.

Apa ukuran yang wajar bagi Malaysia? Ini terpulang kepada rakyat Malaysia sendiri, bersandarkan kepada nilai hidup dan aspirasi negara, dengan merujuk kepada negara-negara lain yang berjaya mencapai status pendapatan sederhana-tinggi atau pendapatan tinggi.

Kajian Martin Ravallion baru-baru ini menunjukkan bahawa negara berpendapatan hampir serupa dengan Malaysia telah menetapkan garis kemiskinannya pada anggaran RM2,550 sebulan bagi empat orang sekeluarga, iaitu hampir tiga kali ganda PLI Malaysia sekarang.

Jika Malaysia menggunakan PLI ini, kadar kemiskinan negara akan berangka sekitar 15 peratus, hampir menyamai peratusan dalam laporan UNSR, manakala ukuran yang menggunakan nilai relatif Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan kadar kemiskinan negara ialah pada 17 peratus.

MPI yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 juga terlalu rendah dan tidak selari dengan kemajuan Malaysia. 

MPI Malaysia merangkumi ukuran kewangan PLI dan bukan kewangan, dengan dimensi kemiskinan seperti pendidikan, kesihatan dan taraf hidup.

Namun, jika diambil kira aspek bukan kewangan ini sekalipun, MPI Malaysia masih mencatat kadar kemiskinan pada kurang satu peratus.

Wakil Bank Dunia sewaktu Kongres Statistik Dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini mengemukakan hasil kajian terkini agar MPI alternatif digunakan di Malaysia.

Kaedah alternatif ini masih bersandarkan ukuran multidimensi, tetapi standard hidup merujuk kepada negara berpendapatan tinggi-sederhana. Ukuran alternatif tersebut mencatatkan kadar kemiskinan multidimensi Malaysia bersamaan dengan 19 peratus.

Laporan Pelapor Khas PBB menarik perhatian kepada golongan yang lebih miskin. 

Ia membuktikan bukan sahaja terdapat kelompok-kelompok tersisih yang dilanda kemiskinan, malah kadar kemiskinan sebenarnya lebih tinggi dalam kalangan beberapa komuniti lain yang berisiko dihimpit kemiskinan.

Pelapor Khas PBB, Philip Alston.

Kebanyakan mereka ini ‘terselindung dari segi statistik’ kerana Tinjauan Pendapatan Isi Rumah (HIS – Household Income Survey) yang digunakan sebagai asas kiraan kemiskinan tidak mengambil kira penempatan Orang Asli, pekerja asing dan orang pelarian.

HIS juga tidak merekodkan status orang kelainan upaya, malah cara sampelnya diambil mengetepikan ukuran kemiskinan dalam kalangan orang asal yang berada di Sabah dan Sarawak (Bumiputera bukan Melayu), walhal mereka jauh lebih miskin berbanding orang Melayu.

Kerajaan mempunyai sumber teknikal dan kewangan yang mencukupi untuk memperbetulkan HIS agar perbandingan tepat diperoleh. 

Masanya sudah tiba, kerana tanpa maklumat ini, ianya akan menghalang perancangan serta pelaksanaan dasar yang dapat membantu warga Malaysia keluar dari belenggu kemiskinan.

PLI dan MPI perlu dikaji semula agar ukurannya selaras dengan kemajuan negara, dan ini akan menjadi panduan bagi memperkukuh gerak kerja untuk membasmi kemiskinan terutama terhadap golongan B40.

Keberanian politik dan kemampuan komunikasi yang baik diperlukan untuk meningkatkan garis ukur kemiskinan Malaysia. Akan timbul pihak yang mendakwa tahap kemiskinan telah meningkat, namun ini adalah benar.

Hakikatnya, rakyat Malaysia kini mengharapkan kehidupan yang lebih bermakna dan kerajaan yang lebih peka dengan keperluan rakyat dalam perkembangan ekonomi semasa. Sebagai rakyat, sudah tentulah mereka juga ingin berkongsi nikmat kekayaan negara.


DR KENNETH SIMLER ialah pakar ekonomi dengan Hab Ilmu Global dan Penyelidikan Bank Dunia di Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS