Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang awam gusar aspek patuh syariah teksi motosikal

TINJAUAN | Cadangan kerajaan untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini mengundang rasa kurang senang orang awam yang bimbang sekiranya ia tidak mematuhi syariah.

Rata-rata orang awam yang ditemui Malaysiakini menyuarakan kebimbangan sama dan menggesa kerajaan untuk membuat kajian mendalam sebelum ia dilaksanakan.

Bagi penghantar barang, Nur Arifin Mahmud, 33, selain membuat kajian berkaitan keselamatan, kerajaan juga perlu meneliti hukum agama.

“Jika nak buat juga ikutlah undang-undang Islam kita iaitu jika penunggang lelaki hanya boleh mengambi pelanggan lelaki dan begitu juga sebaliknya.

“Kerajaan kena bincang secara rasional, kita mampu nak buat atau tidak, kena selidik betul-betul, bincang elok-elok dan ketepikan politik,” katanya kepada Malaysiakini.

Nur Arifin Mahmud

Nur Arifin yang setiap hari menggunakan laluan motor bagi menjalankan tugas turut menyuarakan keadaan laluan motosikal yang kurang selamat digunakan.

Jelasnya, akibat perkara itu dia terpaksa melencong ke laluan utama kerana bimbang menggunakan laluan motosikal.

“Kadang-kadang laluan motosikal ada lubang, saya risau bila air naik sehingga saya terpaksa ikut jalan besar walaupun berisiko tinggi.

“Saya lebih sanggup kena saman dari berlaku kemalabgan, terpaksaah, ikut situasi,” katanya yang ditemui di Lebuhraya KESAS.

Pada 22 Ogos lalu, Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abd Wahid menyifatkan perkhidmatan teksi motor yang diluluskan kabinet sebagai tidak Islamik.

Menurutnya, adalah lebih elok ditiadakan perkhidmatan tersebut bagi mengelakkan fitnah.

Untuk rekod, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan pengguna motosikal amat membimbangkan lebih-lebih lagi golongan itu penyumbang terbesar dalam statistik kematian Kementerian Pengangkutan.

Statistik merekodkan, purata kematian disebabkan kemalangan adalah seramai 18 orang setiap hari sepanjang 2018 berbanding 19 (kematian) bagi tempoh sama pada tahun 2017.

Statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018 menunjukkan hampir 550,000 kemalangan direkodkan dan daripada jumlah itu sebanyak 6,824 kes melibatkan kematian.

Daripada angka itu, 65 peratus jumlah kematian melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng.

Melibatkan soal keselamatan

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata cadangannya untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal mendapat lampu hijau daripada kabinet.

Kata Syed Saddiq, perkhidmatan itu bukan sahaja mengelakkan golongan muda terdedah kepada aktiviti lumba haram tetapi secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan terbabit.

Cadangan itu mendapat kritikan banyak pihak namun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa mana-mana pihak tidak menggunakan perkhidmatan itu jika rasa tidak selamat.

Sementara itu, bagi seorang lagi responden, Mohd Fauzi Abdul Latif, perkhidmatan teksi motosikal banyak mendatangkan bahaya berbanding kebaikan kerana ia melibatkan soal keselamatan.

Mohd Fauzi Abdul Latif

Menurutnya, keadaan laluan motosikal yang tidak dijaga dengan baik dibimbangi akan menambah jumlah statistik kematian melibatkan penunggang motosikal.

“Masih banyak kawasan tak berapa selamat seperti jalan berlubang dan di kawasan terowong agak gelap kerana lampu kurang, ia mengundang bahaya.

“Saya tak nampak lagi kebaikan teksi motosikal, banyak bahaya dari kebaikan. Faham-faham lah, yang bawa lelaki, belakang perempuan, dari sudut Islam memang gagal,” katanya ketika ditemui di Lebuhraya Persekutuan.

Mohd Fauzi juga melihat kaum wanita tidak sesuai bekerja sebagai penunggang teksi motosikal.

“Kalau saya sebagai pelanggan, saya mahu penunggang itu lelaki, baru saya naik. Saya cadang tak payah buat,” katanya.

Manakala bagi Farhan Che Hassan, 31, yang menetap di Port Dickson pula berpendapat perkhidmatan itu hanya sesuai dibuat di kawasan bandar yang sibuk.

Farhan Che Hassan.

Baginya, walaupun dia tinggal pusat tumpuan pelancong namun rata-rata golongan itu lebih memerlukan perkhidmatan yang lebih selesa seperti bas.

“Di Malaysia ni motosikal bukan pengangkutan utama seperti di Vietnam dan Indonesia dan orang masih pilih keselesaan berbanding motosikal.

“Kerajaan perlu tambah lagi bas sebab benda pun keselamatan dan keselesaan yang perlu diambil kira. Macam di Port Dickson ke Seremban pun bas yang ada boleh kira. Tak salah saya bas terakhir jam 8 malam,” katanya.

Farhan bagaimanapun tidak menolak cadangan pelaksanaan perkhidmatan itu, namun menggesa kerajaan mengumpul maklumat lengkap penunggang motosikal bagi mengelakkan berlakunya jenayah.

Tak sesuai untuk orang Islam

Bagi agen insuran Md Nabil Husain, 37 pula, dia mengakui pernah mengalami kemalangan jalan raya ketika menggunakan laluan motosikal kerana jalan yang tidak diselenggara dengan baik.

Selain itu katanya, aplikasi perkhidmatan teksi motosikal perlu lengkap dengan data penunggang agar pelanggan boleh memilih perkhidmatan mereka.

Md Nabil Husain.

Katanya lagi, perkhidmatan itu perlu sesuai kepada pelanggan beragama Islam.

“Kalau tanya saya, dari sudut teksi motosikal, bagi saya sebagai orang Islam, kita perlu tahu kaedah yang nak digunakan, agak susah nak tahu siapa yang datang (ambil pelanggan).

“Contoh saya pesan, yang datang tu perempuan, macam mana? Mungkin di situ ada banyak saya nampak mudarat dari segi kita orang Islam, susah nak kawal dan laksana.

“Budaya orang Islam mana boleh naik lelaki perempuan, kemudian nak buat sekalipun kena ada kaedah iaitu memaklumkan jantina dulu.

“Perhalusi penggunaan aplikasi, penumpang kena tahu siapa bawa kita. Boleh juga jadi isu ambil kesempatan terhadap perempuan,” katanya yang ditemui di Lebuhraya Persekutuan.

Lihat Komen
ADS