Terjemahan Kerajaan tidak akan membenarkan penggabungan di sektor perbankan sehingga meninggalkan hanya beberapa buah bank besar sahaja beroperasi di negara ini, kata Menteri Kewangan kedua, Tan Seri Nor Mohamed Yackop.

Menurutnya, kerajaan akan campurtangan jika penggabungan bank-bank fasa kedua yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi melampaui batas.

"Jika bank-bank mahu bergabung hingga tinggal sebuah bank mega sahaja, kerajaan akan bertindak. Kami mahu memastikan perkhidmatan dan kepentingan pengguna dijaga," tegas beliau.

Sebagai contoh katanya, pelanggan bank di bandar kecil dan kampung mesti mendapat perkhidmatan yang sama dengan pelanggan di bandar besar. Jika bank-bank gagal menyediakan perkhidmatan yang sama, kerajaan akan bertindak, katanya.

Malaysia memulakan program penggukuhan sektor perbankan sebaik sahaja ekonomi negara dilanda krisis kewangan pada tahun 1997-98 di mana 54 buah bank dan syarikat kewangan digabungkan menjadi 10 buah kumpulan perbankan bagi mengukuhkan sektor itu.

Menurut laporan agensi berita AFP, kerajaan tidak menetapkan sasaran jumlah kumpulan perbankan yang perlu wujud tetapi sering menyatakan penggabungan akan terus dibuat bagi tujuan komersil.

Penggabungan terbaru pada bulan ini menyaksikan Southern Bank diambilalih oleh Bumiputera-Commerce Holdings, kumpulan perbankan kedua terbesar di negara ini.

Tindakan penggabungan itu menjadikan jumlah kumpulan perbankan negara ini kepada sembilan menjelang liberalisasi penuh dilaksanakan pada 2007 di mana bank-bank asing akan dibenarkan bersaing di pasaran domestik.

Nor Mohamed juga menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan Malaysia memainkan peranan dalam penggabungan terbaru itu. Beliau sebaliknya menegaskan, ia adalah satu keputusan komersil.

"Tiada siapa di Malaysia mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan penggabungan tersebut. Keputusan itu terletak di tangan ahli lembaga pengarah dan pemegang sahamnya," jelas beliau. Berita asal