Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PANDUANKINI | Sejak akhir Ogos lalu, suara-suara yang menyeru umat Islam agar memboikot produk bukan bumiputera semakin ketara, terutamanya di media sosial.

Perkara ini muncul di tengah-tengah isu kaum dan agama di Malaysia berikutan isu-isu seperti pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular dan kenyataan pendakwah Dr Zakir Naik.

Kempen boikot itu telah mengundang pelbagai pihak untuk berkongsi pandangan mereka, termasuklah ahli politik.

Malaysiakini cuba merungkai boikot tersebut, yang kini dikatakan sebagai gerakan menyokong perniagaan Muslim.

Bagaimana gerakan ini bermula?

Kempen boikot ini kemungkinan besar bermula di media sosial. Ada sejumlah halaman di Facebook didapati membawa matlamat senada, iaitu gesaan mengutamakan produk Muslim. 

Kumpulan itu sebelum ini tidak begitu menonjol, sehinggalah Ogos 2019, apabila isu boikot barangan bukan Muslim mula hangat diperkatakan pengguna Facebook di Malaysia.

Satu kumpulan Facebook tertutup yang menyeru sokongan terhadap perniagaan Muslim menyaksikan lonjakan bilangan ahli dalam masa yang singkat.

Menurut pengendali kumpulan itu, keahliannya melonjak daripada hanya 10,000 ahli dua minggu lalu kepada 100,000 minggu lalu, kemudian meningkat kepada 500,000 pada Sabtu lalu, dan kini sudah melebihi sejuta.

Gerakan itu semakin mendapat perhatian apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Ogos lalu tampil mencadangkan larangan terhadap pengeluar bukan Muslim untuk menggunakan tulisan Jawi pada barangan mereka. Ia berkait dengan polemik pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Menurut PPIM, langkah itu membolehkan pengguna “membuat pilihan” dan menyeru orang Islam agar lebih berhati-hati membeli produk bukan Melayu yang menggunakan nama Melayu. 

Kempen boikot produk bukan Muslim atau sokong produk Muslim?

Kempen “beli produk Muslim dulu” bukanlah kempen baru. Kempen ini sudah ada sejak akhir tahun lepas, namun ia tidak begitu mendapat perhatian meluas.

Seperti namanya, tujuan asal kempen ini adalah untuk mengutamakan produk keluaran Muslim atau bumiputera.

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) pada awal tahun juga melancarkan kempen ‘Sokong Produk Muslim’ bagi menggalakkan pembelian produk keluaran Muslim, namun awal-awal meminta rakyat untuk tidak memboikot produk keluaran bukan Muslim.

Bagaimanapun, di kalangan penyokong kempen, seruan mengutamakan produk Muslim sering dibangkitkan bersama seruan untuk memboikot produk bukan Muslim.

Seruan boikot semakin ketara apabila kempen ini mula mendapat momentum hebat pada Ogos, sebelum berlaku perubahan nada berikutan teguran sebahagian ahli kumpulan tentang kempen yang dikatakan menyimpang daripada tujuan asal. 

Perubahan itu dapat dilihat menerusi hantaran di halaman media sosial dan perbincangan di kalangan ahli kumpulan, yang kini lebih banyak mempromosikan produk dan perniagaan Muslim berbanding menyerang bukan bumiputera dan bukan Muslim.

Siapa tokoh penting yang menyokong kempen?

Setakat ini, tiada pemimpin yang menyokong gesaan boikot, kecuali bekas timbalan ketua ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani..

Pimpinan PAS bagaimanapun tampil menyatakan sokongan terhadap kempen utamakan produk Muslim, dengan menyifatkannya sebagai “inklusif” dan bertujuan menggalakkan Muslim dan bumiputera untuk membeli produk keluaran mereka.

“Bagi PAS kempen 'beli produk Muslim dulu' adalah suatu tindakan yang inklusif dan kompetitif dalam konteks perniagaan dan harus dilihat secara positif," kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Nada baru itu menyebabkan kempen ini mendapat sokongan daripada lebih ramai penyokong, termasuk daripada Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri mengkritik kempen boikot tetapi menyokong kuat kempen mengutamakan produk keluaran Muslim dengan menyifatkannya sebagai pilihan yang lebih baik dan mampu membantu ekonomi Malaysia.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga turut menyatakan sokongannya terhadap kempen untuk membantu ekonomi sesama Muslim dan bukannya melalui kempen memboikot barangan bukan Islam.

Siapa pula bersuara menentang kempen boikot?

Sebelum kempen itu bertukar nada daripada boikot kepada mengutamakan produk Muslim dan bumiputera, kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tampil mengkiritk gerakan tersebut.

Ini termasuklah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang berkata gerakan seperti itu tidak berkesan dan hanya akan mencetuskan kemarahan orang lain.

“Mungkin ada orang yang cetek fikiran yang buat benda macam ini. Tetapi tak berkesan. Boikot itu senjata yang tak berkesan, tak guna buat (perkara) itu.

"(Ia) cuma timbul kemarahan. Jangan boikot barang sesiapa pun, bumiputera atau bukan bumiputera," kata Mahathir.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga turut mengecam kempen boikot itu, dan menyifatkannya sebagai tidak produktif dan boleh menyebabkan pengguna "memboikot produk yang lebih baik dan murah” selain boleh menjejaskan perpaduan negara.

Antara menteri lain yang bersuara mengkiritk boikot itu termasuklah Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

Setakat ini adakah kempen ini menjejaskan mana-mana perniagaan?

Menurut Saifuddin, setakat ini tiada laporan diterima berkenaan kesan kempen boikot itu.

Katanya, persatuan atau pertubuhan pemborong dan peruncit tidak ada memberikan apa-apa maklum balas kepadanya tentang kesan yang mereka terima daripada kempen itu.

Apakah ada gerakan seumpamanya sebelum ini?

Ya. Kempen ini bukanlah yang pertama kali seumpamanya di Malaysia.

Pada 2013 dan 2014, sudah ada blog dan halaman Facebook yang didapati menyeru agar umat Islam memboikot produk “Cina DAP”.

Blog yang bernama BBCM (Boikot Barangan Cina DAP) sebelum ini aktif di Twitter, Pinterest, dan beberapa halaman Facebook.

Meskipun hantaran terakhir blog itu ialah pada Ogos 2013, senarai rujukan mereka yang membandingkan produk bumiputera dan produk Cina, didapati kembali disebarkan di media sosial pada masa ini.

Kebanyakan poster yang menyaran produk yang patut diboikot juga menampakkan perubahan daripada nada sebelumnya.

Sekitar 2011 juga, ada kempen boikot ke atas jenama seperti Gardenia kerana didakwa mempunyai hubungan dengan BN.

Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok antara yang tampil mengkritik kempen boikot itu.


Panduankini ini disusun oleh Geraldine Tong dan M Fakhrull Halim.

Lihat Komen
ADS