Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng gesa Umno, PAS kecam kempen boikot barangan bukan bumiputera
Diterbitkan:  Sep 1, 2019 10:56 PM
Dikemaskini: 3:00 PM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Umno dan PAS mengecam kempen memboikot perniagaan bukan bumiputera.

Lim berkata demikian selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan boikot berkenaan tidak berkesan dan hanya akan menyebabkan kemarahan.

"Jika PAS dan Umno tidak menentang bukan Islam dan bukan Melayu, mereka harus mengamalkan pendirian yang sama mengecam kempen boikot produk bukan bumiputera seperti itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen yang bermula di media sosial itu menggesa golongan bumiputera memboikot produk yang dihasilkan oleh bukan bumiputera.

Dalam satu kiriman media sosial, pengguna bumiputera diminta untuk memboikot dalam satu hari dalam seminggu, pasar raya yang tidak mempromosikan produk bumiputera dan yang tidak mengurangkan harga barang yang dihasilkan oleh bukan bumiputera.

Beberapa NGO turut tampil menyeru pengguna memboikot produk halal yang dibuat oleh bukan Islam.

Sementara itu, Lim berkata pihak yang "perkauman dan pelampau agama" patut mengambil nasihat Dr Mahathir untuk menghentikan boikot itu.

"Pemboikotan produk bukan bumiputera ini telah mencapai tahap yang membimbangkan sehingga perdana menteri terpaksa memberi komen mengenainya.

"Jika begini situasinya, produk asing terutama telefon bimbit juga harus diboikot," katanya.

Lim menambah, kempen boikot seperti itu tidak produktif, kerana menurutnya ia bukan hanya menjejaskan perpaduan negara, tetapi juga boleh menyebabkan pengguna "memboikot produk yang lebih baik dan murah".\

Lim juga menyeru orang ramai mengambil iktibar dari pesanan wira badminton negara Lee Chong Wei agar tidak membiarkan isu-isu kecil memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Lihat Komen
ADS