"Saya tidak kecil hati..." Itulah yang dinyatakan oleh Naib Chanselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Hashim Yaacob yang tempoh perkhidmatannya Jumaat ini.

"Tidak perlu bersedih untuk saya atau universiti. Itu keputusan Perdana Menteri. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melantik saya sebagai naib canselor sejak tiga tahun lepas," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya.

Prof Dr. Hashim dilantik secara kontrak selama tiga tahun, pada April 2003, menggantikan Prof Datuk Dr Anuar Zaini Md Zain yang juga berkhidmat selama tiga tahun.

Menurut laporan Bernama, semalam Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan tempoh perkhidmatan Prof. Dr. Hashim berakhir Jumaat ini.

"Saya gembira kerana ada perkara baik yang saya dapat sumbangkan kepada universiti sepanjang perkhidmatan saya di sini. Kita harus ingat bahawa orang datang dan pergi, dan bila masa untuk anda pergi, anda mesti pergi dan bila anda pergi, lakukannya secara bermaruah," katanya selepas melancarkan satu seminar mengenai falsafah perkahwinan, anjuran Pusat Pembangunan Keluarga Universiti Malaya.

Prof Dr. Hashim berharap penggantinya lebih baik daripada beliau untuk membawa universiti itu ke tahap yang lebih tinggi dari sekarang.

Kedudukan dan masa depan beliau di Universiti Malaya yang merupakan universiti terulung dan tertua di negara ini menjadi bualan ramai pada tahun lalu apabila kedudukan universiti itu merudum dalam "rangking" universiti terbaik dunia.

Tiga nama disebut-sebut akan memangku jawatan yang dikosongkan itu sementara menunggu perlantikan seorang Naib Chanselor baru. Mereka ialah Timbalan Naib-Chanselor (TNC) Hal Ehwal Peljar, Prof. Datuk Agus Salim,

TNC Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. A. Hamid Hadi serta TNC Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Mohd Rasat.

Sebelum itu, pengarah pusat pembangunan keluarga universiti itu, Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rashid dalam ucapan aluan pada seminar itu berkata tempoh perkhidmatan tiga tahun tidak membolehkan seseorang naib canselor melakukan penambahbaikkan drastik untuk universiti terulung itu.

"Saya kecewa kerana kontrak Prof. Dr. Hashim tidak dilanjutkan. Beliau merupakan pemimpin yang mempunyai kredibiliti, mahir dan mempunyai wawasan. Kita akan kehilangan pemimpin yang dihormati," katanya.

Mengenai seminar dua hari itu, beliau berkata 50 kertas kerja yang menyentuh pelbagai aspek perkahwinan akan dibentangkan.

Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Hal-Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman bagi pihak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau membacakan teks ucapan Abdul Taib.