Malaysia bukan lagi "syurga minyak murah" bagi warga asing
Status Malaysia sebagai "syurga minyak murah" bagi warga asing akan berakhir tidak lama lagi apabila kerajaan mengenakan caj tambahan terhadap kenderaan asing yang mengisi minyak di negara ini.
Status Malaysia sebagai "syurga minyak murah" bagi warga asing akan berakhir tidak lama lagi apabila kerajaan mengenakan caj tambahan terhadap kenderaan asing yang mengisi minyak di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, caj tambahan itu akan dikenakan dalam bentuk cukai baru.
Beliau berkata langkah itu yang dijangka diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam tempoh terdekat, bertujuan mencegah penyelewengan penjualan minyak bersubsidi di pasaran tempatan.
Menurut laporan Bernama, ia merupakan antara beberapa langkah lain yang dijangka diumumkan oleh Najib selaku pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesan Harga Minyak.
"Kita telahpun bincang. Mungkin diperkenalkan langkah mewujudkan satu stesen minyak khusus untuk warga asing, kita kenakan cukai kepada warga asing. Saya ingat ia akan diumumkan sedikit masa lagi," katanya.
Shafie berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan taklimat kepada 5,000 guru agama, pegawai masjid dan pegawai jabatan Agama seluruh negara mengenai isu semasa kesan kenaikan harga minyak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdulah Md Zin dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mustafa Abdul Rahman.
Shafie berkata langkah berkenaan difikirkan perlu bagi membendung tindakan berleluasa pemilik kenderaan asing terutamanya dari Thailand, Singapura dan Kalimantan Barat, Indonesia membeli minyak pada harga yang lebih murah di Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata bahagian penguatkuasaan kementerian berkenaan akan meneruskan langkah penguatkuasaan undang-undang terhadap peniaga yang menaikkan harga barang bagi mengambil keuntungan yang keterlaluan.
Sambil mempertahankan tindakan bahagian penguatkuasa terhadap seorang wanita peniaga makanan di Terengganu yang menjual lauk gulai ikan tongkol RM45 sebungkus, beliau berkata kerajaan terpaksa bertegas bagi melindungi kepentingan dan hak pengguna.
"Ya kita akan pertahankan (langkah mengkompaun peniaga itu), dan kita akan teruskan," katanya.
Beliau berkata langkah memantau kenaikan harga barangan termasuk penguatkuasan akan diteruskan di merata pelusuk negara.

