Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Himpunan Penyatuan Ummah: Apa kata orang politik
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 7:00 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Himpunan Penyatuan Ummah mencipta sejarah apabila dua parti yang berseteru sejak 1978, Umno dan PAS, akhirnya menandatangani piagam rasmi hari ini.

Sejak tengah hari, tanda pagar #hpu914 sempat sohor di kedudukan lima teratas di Twitter untuk beberapa ketika, dengan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak ketinggalan mengemas kini Twitter dan Facebook masing-masing dengan hantaran berhubung himpunan tersebut.

Najib Razak menggambarkan keadaan di PWTC, tempat acara berlangsung tengah hari tadi yang sesak dengan lebih 25,000 hadirin yang berpakaian merah, putih dan hijau sehingga sukar untuk berjalan.

Dalam hantaran terbaru pula, dia berkongsi: “Di sekitar dewan kita dapat melihat. Ramai. Ada yang menitis air mata kerana penyatuan ini. Umno-PAS akhirnya bersatu.Allah Maha Berkuasa. #HPU914”.

 

Dalam ciapan Twitter Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii, dia berkongsi rasa terharu dengan memuat naik rakaman video Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berjalan berpimpin tangan menaiki pentas utama Dewan Merdeka.

“Saat ini, menangis di dalam hati apabila melihat Zahid dan Hadi masuk berpimpin tangan ke dalam Dewan Merdeka PWTC!

“Dikala dunia Islam hancur kerana perpecahan, lain pula Di Malaysia. Jiwa besar pemimpin ini harus kita hormati! Detik manis Islam!” katanya.

Seorang lagi ahli MT Umno, Abdul Rahman Dahlan pula mengimbau permusuhan “dalam dan perit” antara PAS dan Umno sebelum ini, sehingga katanya, ada ahli MT Umno di PWTC tadi mengaku tidak pernah mendengar lagu PAS sebelum ini biarpun mereka dari Kelantan.

 

Anggota Parlimen Pontian dari Umno, Ahmad Maslan pula menciap tentang tontonan siaran langsung himpunan itu di media sosial yang dakwanya mencecah lebih 700 ribu tontonan, dengan menggabungkan tontonan di Facebook TV BN, TV PAS dan TV Sinar Harian.


 

AJK PAS Pusat, Nik Mohamed Abduh pula lebih selesa berjenaka tentang himpunan itu dengan memuat naik sekeping gambar bersama Muhtar Suhaili, Kamal Ashaari, dan Ir Khairil Nizam - yang disifatkannya sebagai penyatuan peminat Liverpool, Manchester United dan Manchester City.

“Malam ni ambo gomo di Anfield..#YNWA” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA merangkap Jurucakap MCA Pusat, Mike Chong Yew Chuan melahirkan penghargaan atas sambutan mesra yang diterimanya di PWTC.

“Walaupun kami 'minoriti' dalam lautan manusia yang rata-ratanya orang Melayu dan bumiputera, tetapi kami sedikit pun tidak terasa tersisih, tetapi disambut dengan mesra dan senyuman.

“Bagi saya, ini lebih daripada perpaduan ummah ataupun orang Islam, tetapi perpaduan dan muafakat nasional yang dinanti-nantikan oleh rakyat negara ini, bagi membela Malaysia yang sekarang merana di bawah pimpinan kerajaan PH,” katanya di Facebook.

Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong pula, turut menzahirkan rasa bangga terhadap perpaduan yang dipamerkan dalam himpunan tersebut.

Katanya, selepas daripada ini, frasa 'minoriti' dan 'majoriti' antara kaum tidak lagi penting kerana ia hanya menjauhkan perpaduan di kalangan rakyat.

"Segala perpaduan antara Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain adalah untuk kepentingan segala rakyat.

“Saya bangga kerana dapat menyaksikan perpaduan tersebut sebagai Rakyat Malaysia berkaum Cina,” katanya.

Pandangan pemimpin kerajaan

Sementara itu, meskipun kebanyakan pemimpin utama PH dilihat tidak mengulas himpunan berkenaan, segelintir pemimpin kerajaan memberikan pendapat.

Antaranya, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang menyifatkan piagam itu ibarat sijil nikah buat PAS dan Umno yang sebelum ini “bersekedudukan”, selain mendakwa pendirian PAS kini tidak sama seperti ketika kepimpinan Allahyarham Fadzil Noor dan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.

“Hubungan sulit yang disorok sebelum ini kini diisytihar secara terbuka. (Dulu) PAS bersekedudukan dengan parti perkauman Melayu. Mungkin hari ini tandatangan (MoU) dapat sijil nikahnya, Wallahualam,” katanya seperti dilapor Malaysia Dateline.

Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari (PKR) pula dipetik Bernama sebagai menyuarakan kebimbangan akan wujud gerakan politik perkauman melampau dengan penyatuan Umno dan PAS itu.

Adun Sungai Pelek dari PKR, Ronnie Liu berkata penyatuan itu sememangnya mampu memberikan Umno dan PAS peluang lebih cerah dalam memenangi PRU.

Namun, katanya, ia hanya memberi kesan sekiranya kedua-dua parti dapat mengelakkan perselisihan berhubung pengagihan kerusi.

“PH pun buat begitu untuk PRU-14, begitulah kami dapat memperoleh kemenangan bersejarah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, kerjasama itu juga akan menjauhkan golongan Melayu moderat dan semua golongan bukan Melayu, dan untuk PRU akan datang, pengundi mempunyai dua pilihan ketara - iaitu satu membawa naratif kepelbagaian kaum, satu lagi membawa agenda “ketuanan Melayu”.

“BN sekarang ialah perikatan Melayu. Memanggilnya (parti yang melibatkan) pelbagai kaum hanya kerana MCA dan MIC ada sekali, hanyalah satu kepura-puraan, rakyat pun tahu hal ini,” katanya lagi.

Sementara itu, empat ketua pemuda sayap parti komponen PH antara yang paling awal mengeluarkan kenyataan secara bersama, meminta gabungan tu tidak membazirkan masa berbicara soal parti lain, sebaliknya menumpukan perhatian kepada prestasi parti sendiri.

Piagam yang diberi nama Piagam Muafakat Nasional itu ditandatangani oleh Ahmad Zahid dan Abdul Hadi selepas kedua-duanya menyampaikan ucapan masing-masing di depan lebih 2,000 perwakilan di Dewan Merdeka.

Piagam tersebut dibacakan secara bersama oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang antara lain menggariskan matlamat kerjasama - atau taawun siyasi - dua parti terbesar orang Melayu itu.

Pemeteraian itu kemudiannya disambut laungan takbir oleh hadirin yang hadir.

Lihat Komen
ADS