Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerjasama PAS-Umno boleh berhasil pada PRU15 - Penganalisis

Kerjasama politik antara Umno dan PAS menyaksikan mereka mungkin memenangi kerusi yang mencukupi untuk mendakwa dapat membentuk kerajaan, kata penganalisis politik Wong Chin Huat.

Berdasarkan data Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Wong berkata Umno dan PAS akan dapat memenangi sehingga 97 kerusi di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum akan datang.

"Jika kamu melihat pada PRU-14 dan Umno-PAS  bersama-sama (Pada PRU15), mereka akan dapat mengambil 97 kerusi di Semenanjung.

"Ini akan menjadikan mereka mendapat majoriti yang jelas, beri mereka kuasa untuk mendakwa diri mereka sebagai kerajaan.

"Kerana walaupun Pakatan Harapan boleh menyertai semua orang di Malaysia Timur, mereka (Umno-PAS) akan kata, kamu tidak sah kerana majoriti di Semenanjung bersama kami," katanya sambil menambah perkara itu mungkin membawa kepada pembentukan sebuah gabungan kerajaan atau menyebabkan kerajaan berpecah.

Wong, yang merupakan penganalisis politik dari Universiti Sunway, berkata demikian dalam kursus mengenai sistem pilihan raya yang dihadiri kira-kira 40 orang di Kuala Lumpur hari ini.

Menyifatkan kerjasama itu boleh dilakukan di bawah sistem First-Past-The-Post (FPTP), beliau menegaskan peratusan yang memenangi lebih 50 peratus majoriti undi pada PRU lalu hanyalah sekitar 40 peratus.

Daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, 90 kawasan pilihan raya diwakili Ahli Parlimen yang lebih ramai menentang mereka daripada menyookong, katanya.

Daripada 90 kawasan pilihan raya, 77 daripadanya adalah di Semenanjung Malaysia dan daripada jumlah itu, 38 dimenangi oleh BN, 9 dimenangi PAS dan 30 kerusi dimenangi Pakatan Harapan, katanya.

Ini bermakna di sebanyak 30 kerusi yang dimenangi PH, jika penyokong BN dan PAS bergabung bersama, mereka akan dapat membentuk majoriti dan menewaskan calon PH, jelas beliau.

"Jadi jangan percaya analisis yang mengatakan kerjasama Umno-PAS tidak akan berfungsi. Sudah tentu ia akan berfungsi.

"Sama ada mereka boleh bentuk kerajaan adalah soalan lain tapi untuk menang kerusi legislatif (mereka boleh)," katanya.

Pada masa ini Malaysia mengamalkan sistem first-past-the-post yang mana calon pilihan raya yang menerima undi paling banyak dikira menang.

Berdasarkan sistem ini, calon tidak perlu menang lebih daripada 50 peratus undi atau lebih banyak undi daripada kesemua calon lain yang digabungkan. 

Mereka hanya perlu mendapatkan lebih banyak undi daripada mana-mana calon individu lain.

Sabtu lepas menyaksikan termeterainya piagam bersama antara Umno-PAS, yang sebelum ini menjalinkan kerjasama tidak rasmi dalam beberapa pilihan raya kecil sejak PRU14.

Walaupun ramalan Wong cenderung berpihak kepada Umno dan PAS, namun faktor lain iaitu pengundi baru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga masih boleh diambil kira.

"Besar kemungkinan, apabila kita masuk ke PRU15, akan ada 60 peratus pengundi baru, bukan sahaja mereka yang berumur antara 18-21 tahun tetapi mereka yang tidak pernah didaftarkan.

"Ini adalah orang yang tidak pernah mengundi, mereka tak pernah ambil peduli pada masa lepas. 

"Kamu tiada rekod mengundi untuk meramalkan ke mana arah mereka," katanya memberi amaran.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS