Beberapa Ahli Parlimen bersetuju dengan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk M. Kayveas bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada orang ramai tidak memuaskan.

Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakub mendakwa, PBT bersikap prejudis terhadap wakil rakyat dan tidak mengambil berat cadangan yang diberikan oleh mereka untuk mempertingkatkan prestasi kerajaan tempatan.

Katanya, banyak keputusan yang dibuat oleh PBT dibuat secara sendirian tanpa mengambilkira pandangan yang diberikan oleh wakil rakyat terutama Ahli Parlimen.

"Tidak ada pihak yang boleh mengawal PBT kerana mereka mempunyai kuasa sendiri dan ini menyebabkan wakil rakyat tidak dapat membantu penduduk yang menghadapi masalah dengan PBT.

"Walaupun kita bersuara setiap kali ada mesyuarat dengan PBT tetapi kata putus tetap di tangan mereka menyebabkan prestasi kerajaan masih berada di tahap lama," katanya ketika mengulas kenyataan Kayveas bahawa PBT tidak menerima cadangan wakil rakyat untuk membantu meningkatkan prestasi kerajaan tempatan.

Kayveas berkata, kerajaan menerima rungutan daripada wakil rakyat bahawa mereka sukar membantu menyelesaikan masalah penduduk kerana tidak mendapat kerjasama PBT.

"Kerajaan tempatan tidak kisah dengan wakil rakyat kerana mereka tahu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selalu berubah," katanya lagi.

Ismail berkata, keadaan ini menyebabkan masalah seperti setinggan, longkang, perparitan dan sampah masih berlaku walaupun pelbagai cadangan telah diberikan kepada PBT.

Katanya, sudah sampai masanya pihak tertentu mengawal dan memantau PBT bagi memastikan keberkesanan pentadbirannya menyelesaikan masalah rakyat.

Ahli Parlimen Jerai, Datuk Badaruldin Amiruddin pula berkata, PBT perlu menerima teguran wakil rakyat kerana apa yang dibuat oleh wakil rakyat adalah untuk kebaikan masyarakat setempat.

Katanya, wakil rakyat adalah mata dan telinga kepada rakyat, iaitu orang yang paling dekat dengan masyarakat dan PBT perlu mengambilkira hal tersebut.

"Jika wakil rakyat tidak dapat menegur tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan PBT itu. Mereka perlu ingat wakil rakyat bukan mencampuri urusan mereka tetapi hanya membuat teguran dan cadangan untuk kebaikan bersama," katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya di kawasannya hubungan beliau dengan PBT baik dan saling bantu membantu untuk kebaikan penduduk setempat.