Perpindahan program kejuruteraan aeroangkasa UPM dibatalkan
Cadangan pemindahan program kejuruteraan aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menimbulkan kontroversi pada tahun lalu, kembali menarik perhatian apabila Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Mustapha Mohamed membatalkan pemindahan program tersebut ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Cadangan pemindahan program kejuruteraan aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menimbulkan kontroversi pada tahun lalu, kembali menarik perhatian apabila Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Mustapha Mohamed membatalkan pemindahan program tersebut ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Semalam menteri itu mengumumkan kerajaan memutuskan untuk mengekalkan program kejuruteraan aeroangkasa di UPM memandangkan ia sudah bertapak di universiti itu sejak tahun 1996.
"Kita putuskan untuk mengekalkan program itu di UPM. Mereka boleh teruskan dengannya," katanya kepada pemberita selepas pembentangan laporan jawatankuasa halatuju pendidikan tinggi Malaysia dan taklimat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di Putrajaya.
Program kejuruteraan aeroangkasa diperkenalkan di UPM sejak 10 tahun lalu itu. Pada Mei tahun lalu, Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Datuk Dr Shafie Salleh mencadangkan program itu dipindahkan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Cadangan beliau itu telah menimbulkan kontroversi kerana dibantah oleh pihak pentadbiran UPM.
Plihak UPM termasuk bekas Timbalan Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd Zohadie Bardaie merasakan program aeroangkasa itu tidak wajar dipindahkan kerana ia merupakan hasil titik peluh universiti berkenaan.
Kemuncak kontroversi itu ialah peristiwa Dr. Mohd Zohadie membaca pantun dalam satu majlis yang dikatakan menyindirkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi mahu memindahkan program berkenaan ke UKM.
Berikutan itu, Lembaga Pengarah UPM yang bermesyuaratn pada 4 Mei tahun lalu, menuntut Dr Zohadie melepaskan jawatan kerana mendakwa beliau telah merosakkan hubungan antara UPM dengan kementerian berkenaan.
Peristiwa itu dikatakan telah "merenggangkan" hubungan Dr. Mohd Zohadie (kiri)dengan Dr. Shafie hingga membawa kepada perletakan
jawatannya
dari UPM pada hujung tahun lalu.
Menurut laporan Bernama, ketika ditanya tentang dakwaan sesetengah pihak kononnya sudah ada pensyarah UPM yang berpindah ke UKM ekoran cadangan pemindahan program tersebut ke Bangi, Mustapa berkata tidak ada sebarang perpindahan yang berlaku setakat ini.
Suruhanjaya perjawatan
Mengulas berkenaan cadangan untuk menubuhkan Suruhajaya Perjawatan Pengajian Tinggi bagi mengekang perpindahan pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang bersara ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pula, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut memerlukan penelitian yang rapi.
"Kita sedang teliti isu ini, ia melibatkan beberapa agensi yang lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kewangan. Kita tidak boleh membuat keputusan secara terburu-buru dan ia memerlukan perbincangan yang teliti," katanya.
Mustapa juga memberitahu, kerajaan mensasarkan sebanyak 60 peratus pensyarah berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2010 selaras dengan teras RMK9 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen baru-baru ini.
"Pada masa ini hanya kira-kira 31 peratus pensyarah universiti tempatan yang berkelulusan PhD, dengan Universiti Sains Malaysia (USM) berada di kedudukan yang tertinggi, diikuti oleh UPM dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA)," katanya.
Beliau berkata bagi mencapai hasrat tersebut kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM17.6 bilion untuk menghantar pensyarah IPTA melanjutkan pengajian sama ada di dalam ataupun luar negara.

