Polis menahan dua lelaki dan sedang memburu seorang lagi rakan mereka kerana memukul serta menyamun seorang peniaga sehingga koma dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta belakang Kondominium Sandilands, di Georgetown, awal pagi Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang hari ini berkata mangsa, Lai Chia Luen, 33, ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di kepala oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 2.10 pagi.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kejadian mendapati tiga lelaki menaiki dua buah motosikal terlibat dalam insiden tersebut. Seorang daripada suspek memukul mangsa menggunakan objek disyaki kayu sebelum mengambil barang milik lelaki itu," katanya kepada pemberita di Georgetown.
Katanya, hasil siasatan awal, pengawal keselamatan kondominium itu memaklumkan dia tidak mendengar sebarang bunyi pergelutan namun mengakui pernah melihat mangsa kerana sering ke perumahan berkenaan untuk menjemput keluar wanita warga asing.
Semua barangan milik mangsa termasuk dompet, telefon bimbit dan kunci kereta hilang dipercayai disamun tiga lelaki itu dalam kejadian tersebut, katanya.
Che Zaimani berkata mangsa kini dilaporkan dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang kerana mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang muka serta pendarahan di dalam otak.
"Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun di hadapan sebuah bengkel motosikal dekat Jalan Air Itam, di sini Ahad lepas dan sedang memburu seorang lagi rakan mereka yang identitinya telah dikenal pasti," katanya.
Katanya siasatan mendapati dua lelaki itu terlibat dalam kejadian berkenaan dan masing-masing mempunyai dua serta satu rekod berkaitan kes dadah.
Beliau berkata dua lelaki yang positif dadah itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
- Bernama
