Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib luluskan pinjaman AS$1.225 bilion 1MEHL - Saksi
Diterbitkan:  Oct 1, 2019 5:43 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad Energy Holdings Limited (1MEHL) pernah diberi kelulusan oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB untuk membuat pinjaman dengan Deutsche Bank AG sebanyak US$1.225 billion pada 2014.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata pinjaman pertama sebanyak US$250 juta pada 22 Mei 2014 dan US$975 juta pada 21 Ogos 2014 adalah bertujuan untuk pembayaran penamatan 'Aabar Option'.

Kelulusan untuk membuat pinjaman ini turut diluluskan oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai pemegang saham 1MDB dan juga sebagai Menteri Kewangan Diperbadankan.

Katanya, ini kerana setiap urusan 1MDB yang melibatkan kepentingan kewangan perlu mendapatkan kelulusan daripada Najib dahulu.

Shahrol Azral berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ke-16 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Ketika menjelaskan mengenai 'Option Aabar', saksi pendakwaan kesembilan berkata beliau difahamkan pihak 1MDB dalam cadangan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) 1MDB Energy Group di dalam Bursa Malaysia.

"Ia dikenali sebagai Option Buy Back iaitu proses untuk menebus semula “Aabar Options” ketika proses pembelian pengeluar tenaga bebas (IPP) pada 2012 dahulu sebagaimana yang dimeterai oleh 1MDB dengan Aabar iaitu di dalam Option Agreement.

"Penebusan Aabar Options ini dibuat melalui anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited," kata Shahrol Azral.

Bagaimanapun, saksi penting pendakwaan itu berkata beliau tidak terlibat dalam proses berkenaan kerana pada Mac 2013 beliau telah dipindahkan ke unit Pemandu dan tidak lagi menjawat jawatan sebagai CEO 1MDB.

"Walaubagaimanapun, saya telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB. Cuma ketika mesyuarat BOD 1MDB berlangsung, apabila terdapat isu atau keperluan membuat keputusan berkaitan sektor tenaga di 1MDB, saya menarik diri dari mesyuarat bagi mengelakkan konflik kepentingan dengan jawatan saya di Pemandu," katanya.

Terdahulu, saksi mengesahkan dokumen bertajuk 'letter of approval dan support (LOS)' daripada Najib selaku Menteri Kewangan bertarikh 29 Ogos 2014, bagi pinjaman US$250 juta dan US$975 juta yang diambil bagi proses IPO 1MDB Energy Group di dalam Bursa Malaysia.

Menyentuh mengenai pembukaan akaun bank 1MDB Energy Holdings Limited di Falcon Private Bank, Hong Kong pada 9 Okt 2012, saksi berkata bank itu dipilih oleh pengarah 1MDB Terence Geh dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Tetapi saya tidak mempersoalkan kenapa mereka memilih bank ini dan apa tujuan utama akaun ini dibuka di sini cuma apa yang saya tahu bank ini dimiliki oleh Aabar dan ini mungkin akan memudahkan lagi urusan 1MDB Energy Holdings Limited dengan pihak Falcon Private Bank Limited nanti," katanya.

Ketika ditanya Sri Ram, apakah tujuan akaun itu dibuka di Falcon Private Bank Limited, Shahrol Azral berkata beliau tidak ingat.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS