Firma perladangan Durian M7 Plantation Bhd memfailkan rayuan untuk meneruskan saman terhadap Pengerusi Jaringan Orang Asli Kelantan (Jaringan) Mustafa Along yang dikaitkan dengan sekatan oleh Orang Asli Gua Musang.

Menurut kertas kausa yang dilihat Malaysiakini hari ini, notis rayuan oleh syarikat berkenaan telah difailkan oleh firma guaman Tetuan Zaidan & Yusoff di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di Putrajaya pada 9 Julai.

Pada 30 Jun, Mahkamah Tinggi Kota Bahru membenarkan permohonan Mustafa untuk membatalkan saman M7 Plantation dan juga injunksi berkaitan terhadapnya.

Menurut salinan Memorandum Rayuan, antara sebab syarikat itu memfailkan rayuan adalah Mahkamah Tinggi Kota Bahru telah terkhilaf dalam keputusannya kerana didakwa gagal mengambil kira bahawa Mustafa mempunyai pengaruh ke atas Orang Asli di beberapa wilayah, termasuk Pos Simpor.

"Yang arif Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila dia tidak mengambil kira fakta bahawa defendan (Mustafa) selaku pengerusi Jaringan Orang Asli mempunyai pengaruh ke atas penduduk Orang Asli di beberapa 'waliyah' termasuk Pos Simpor, walaupun defendan tinggal di alamat yang berbeza.

"Yang arif Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dengan tidak mengambil kira bahawa defendan, Pengerusi Jaringan Orang Asli, Terlibat / Berkait dengan sekatan didirikan oleh Orang Asli," kata M7 Plantation melalui rayuan.

Rayuan itu difailkan pada bulan Julai dan disenaraikan untuk pengurusan kes "e-Review" oleh Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 18 Oktober. 

E-Review adalah telepersidangan yang membenarkan pihak-pihak dalam hal perundangan menjalankan pengurusan kes tanpa perlu hadir di mahkamah.

Pada 30 Jun, peguam Mustafa, Siti Kasim memberitahu Malaysiakini bahawa saman itu telah dibatalkan kerana tiada asas tuntutan oleh M7 Plantation. 

"Kami berjaya membatalkan saman itu [...] kami gembira," katanya.

M7 Plantation memfailkan tindakan undang-undang pada Ogos tahun lepas, apabila sekumpulan Orang Asli, dilaporkan diketuai Mustafa, telah menghalang pintu masuk ke ladang durian berkenaan.

Masyarakat Temiar mendirikan sekatan kerana mendakwa syarikat itu telah menceroboh tanah adat. 

M7 Plantation, sementara itu menganggap sekatan itu sebagai "haram", dan menafikan menggunakan kekerasan untuk meruntuhkannya.

[Baca berita penuh]