Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S’pura kuat kuasa akta antiberita palsu mulai semalam
Diterbitkan:  Oct 3, 2019 12:25 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Singapura pada 2 Oktober mula menguatkuasakan undang-undang baharu bagi membanteras penyebaran berita tidak benar dan penipuan dalam talian, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Undang-undang mengenai Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi itu diluluskan Parlimen Singapura pada Mei, memperuntukkan individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga 100,000 SGD (US$72,100) atau dipenjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga satu juta SGD.

Di bawah undang-undang baharu itu platform dalam talian - termasuk rangkaian sosial, enjin carian dan perkhidmatan pengagregatan berita - perlu mengeluarkan pembetulan atau membuang kandungan yang dianggap oleh pihak kerajaan sebagai tidak benar.

Kerajaan juga boleh memerintahkan penyedia perkhidmatan Internet atau perantara untuk menghalang akses ke laman web yang menyalahi undang-undang atau didenda sehingga US$ 20,000 setiap hari, atau sehingga US$ 500,000.

Bagaimanapun, Google, Facebook dan Twitter diberi pengecualian sementara waktu untuk mengeluarkan pembetulan yang diperlukan selaras dengan undang-undang Singapura.

Kerajaan Singapura berkata undang-undang itu diperlukan untuk melindungi keamanan, keselamatan awam dan hubungannya dengan negara luar, selain mencegah pengaruh asing terhadap keputusan pilihan raya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS