Kumpulan hak asasi cadang pindaan undang-undang lindungi pekerja dari jadi hamba moden
Satu rundingan pelbagai pihak hari ini mengesyorkan kerajaan membuat perubahan dalam undang-undang berkaitan buruh dan pemerdagangan manusia untuk menangani masalah eksploitasi dan perhambaan moden.
Menurut penganjur utama pertemuan itu, Malaysian Centre for Human Rights and Constitutionalism (MCCHR), 30 pakar yang menyertai rundingan itu juga setuju kerajaan wajar mengurangkan ketidakseimbangan kuasa antara majikan dan pekerja, dengan meminda undang-undang berkaitan.
Ketua strategi hak asasi manusia MCCHR Firdaus Husni, berkata pengurangan jurang kuasa tersebut dapat meminimumkan risiko eksploitasi pekerja oleh majikan.
Antara lain, ia termasuk amalan majikan memegang pasport pekerja dan ikatan hutang terhadap pekerja.
"Ketika sesi rundingan, para pakar setuju untuk mencadangkan kepada kerajaan agar membuat pindaan terhadap undang-undang sedia ada, agar kita dapat melindungi pekerja dengan lebih baik daripada bentuk-bentuk perburuhan paksa, termasuklah perhambaan moden.
"Salah satu yang dipersetujui ialah penjenayahan perburuhan paksa dan perhambaan moden dalam undang-undang kita, yang sepatutnya diasingkan daripada kesalahan antipemerdagangan.
“Kerajaan juga dicadangkan untuk memastikan undang-undang tersebut mampu menangani bentuk-bentuk eskploitasi moden, seperti paksaan secara psikologi, tipu daya, dan penderaan melalui kata-kata kesat,” katanya kepada Malaysiakini.

Firdaus berkata, mereka juga mencadangkan penggubalan undang-undang yang dapat mempertanggungjawabkan syarikat dan rantaian bekalan yang berkaitan.
Katanya, ia dapat dilakukan dengan mewajibkan syarikat untuk memfailkan pernyataan dan menjalankan usaha sepatutnya untuk menghalang unsur-unsur perhambaan moden, pemerdagangan dan penyeludupan pendatang asing dalam operasi mereka.
Katanya lagi, turut dicadangkan ialah berkenaan meningkatkan akses perlindungan undang-undang dan sistem aduan kepada mangsa.
Libatkan pakar kerajaan
Mesyuarat yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam itu merupakan sebahagian daripada program Rundingan Pakar Nasional MCCHR di bawah ‘Projek Law Strike’ yang menghimpunkan pakar, ahli akademik, wakil masyarakat sivil bagi membincangkan perkara berkaitan reformasi undang-undang di Malaysia.
Menurut Firdaus, sesi itu melibatkan 30 pakar yang turut melibatkan peguam dan wakil Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran dari kerajaan, yang hadir bagi berkongsi pandangan mereka.
Pandangan itu berkenaan reformasi yang boleh dilakukan ke atas Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Kanun Keseksaan, dan undang-undang lain yang berkaitan dengan isu perhambaan moden.
MCCHR juga melibatkan peguam untuk merangka cadangan pindaan undang-undang, sebelum cadangan itu diberikan kepada kerajaan, katanya lagi.

