Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar percaya ucapan Dr M di kongres untuk kepentingan semua

Presiden PKR Anwar Ibrahim percaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan menjadikan Kongres Maruah Melayu sebagai pentas untuk menimbulkan sentimen kaum atau agama.

"Saya yakin beliau (Dr Mahathir) akan menyampaikan mesej yang akan meliputi kepentingan semua rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam malam ini.

Anwar, yang mendedahkan bahawa dia tidak dijemput untuk kongres itu, ditanya sama ada wajar untuk Dr Mahathir merasmikan acara tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, ia akan bergantung kepada kandungan ucapan yang akan disampaikan Dr Mahathir pada program itu.

"Itu bergantung kepada apa yang akan dikatakan oleh Dr Mahathir (di kongres itu).

"Maksud saya, beliau (Dr Mahathir) secara konsisten menjadi perdana menteri untuk semua. Saya fikir dia mempunyai kebimbangan yang sah mengenai aspirasi orang Melayu tetapi saya fikir ia bergantung kepada apa yang akan dikatakannya," katanya.

Bagaimanapun, Anwar memberi ingatan agar kongres berkenaan tidak dijadikan platform untuk mewujudkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

"Pendirian saya cukup jelas bahawa kita perlu menggalakkan penyertaan semua. (Saya fikir ia boleh diterima) jika niatnya adalah untuk mendapatkan lebih banyak perbincangan dan sensitif terhadap kehadiran kaum dan budaya lain.

"Saya fikir kita perlu melihat program dan resolusinya. Saya fikir penting kita jaga apa pun tujuannya, supaya jangan kita panaskan suhu politik dan ketegangan kaum," katanya.

Semalam, bekas menteri Zaid Ibrahim dan ahli parlimen DAP Charles Santiago berkata Dr Mahathir tidak sepatutnya menghadiri persidangan itu.

Zaid dan Santiago juga tidak bersetuju dengan alasan penganjur bahawa Dr Mahathir menghadiri kongres sebagai pemimpin Melayu dan bukan sebagai perdana menteri.

Kongres yang dianjurkan oleh empat universiti awam - Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UiTM - itu akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Ahad ini.

Selasa lalu, PAS mengesahkan bahawa Presidennya Abdul Hadi Awang akan menghadiri kongres itu.

Sementara Umno telah mengesahkan bahawa setiausaha agungnya Annuar Musa dan tiga ahli majlis tertinggi juga akan hadir.

Lihat Komen
ADS